Kemerosotan Pengunjung Langkawi, Shaiful Hazizy Cadang Kerajaan Negeri Anjur Lebih Banyak Program
MERBOK, 17 Nov – Ketua Penerangan UMNO Negeri Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin mencadangkan agar kerajaan negeri tersebut menganjurkan lebih banyak program untuk menarik pelancong mengunjungi Langkawi.
Ini kerana katanya, sektor pelancongan di Pulau Langkawi sememangnya terjejas akibat faktor jumlah operasi feri yang sudah berkurangan.
“Bagus, cari alasan, sentiasa berada di dalam penafian, bukan nak cari penyelesaian, salahkan media, salahkan orang lain, orang Kedah kata ‘tang dia tu sentiasa ok, tang orang lain sentiasa tak ok’.
“Hakikatnya memang betul Pulau Langkawi berada di dalam krisis, jumlah pengunjung sememangnya merosot. Faktor jumlah operasi feri sudah tidak sekerap dulu. Sebab apa? Kedalaman laut di Kuala Perlis dan Kuala Kedah yang semakin cetek telah mengehadkan operasi feri.
“Industri pelancongan B40 berada didalam keadaan yang sangat terancam. Pengusaha chalet dan inap desa (homestay) yang mengharapkan pelancong tempatan berada dalam keadaan sangat tertekan. Apabila jumlah pelancong semakin kurang, pengusaha-pengusaha terpaksa menaikkan harga bagi menangani kos-kos yang sedia ada,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.
Beliau turut mempersoalkan keberadaan Exco Kebudayaan dan Pelancongan Negeri Kedah yang sepatutnya mengambil tanggungjawab mengenai perkara ini.
“Menteri Besar tahu tak semua masalah ini? Mungkin tidak tahu sebab sepatutnya perkara ini dilaporkan oleh Exco Kebudayaan dan Pelancongan. Persoalannya, kemana hilangnya Exco ini? Masih dalam proses menerima taklimat ataupun tenggelam punca dan fokus?
“Apa yang sepatutnya kerajaan negeri buat? Promosi lebih banyak program ataupun ‘event’ antarabangsa di Langkawi, tak boleh semata-mata harap Langkawi International Maritime and Aerospace (LIMA) dan Le Tour De Langkawi sahaja. Kerajaan pusat dah bantu, Kerajaan Negeri kena bergerak sendiri untuk bawa lebih banyak ‘event’ antarabangsa ke Langkawi
“Kena lebih banyak interaksi bersama MOTAC dan pelbagai agensi kerajaan pusat. Jangan selalu sangat cipta ‘pertembungan’ yang bersifat peribadi. Menteri Besar ada maklum beberapa penerbangan terus daripada beberapa destinasi masih tergendala. Semua perkara ini di bawah kuasa kerajaan pusat, MOTAC, Kementerian Pengangkutan dan sebagainya. Oleh yang demikian jangan sombong dan bongkak, bukalah pintu diplomasi dengan segera,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau turut berpandangan bahawa rancangan Tahun Melawat Kedah 2025 bakal gagal kerana kerajaan negeri tidak mempunyai pasukan yang diyakini.
“Tahun Melawat Kedah 2025? Saya yakin akan gagal kerana kerajaan negeri tidak ada pasukan yang diyakini. Exco Kebudayaan selalu hilang dan Menteri Besar yang bersifat sangat ‘peribadi’ dengan semua seteru politiknya.
“Ditambah pula dengan keadaan Ahli Parlimen Langkawi yang selalu di dalam keadaan separa sedar… gamak mencadangkan perkara-perkara yang tidak siuman dan masuk akal seperti pembinaan Mass Rapid Transit (MRT) bawah laut daripada Alor Setar ke Pulau Langkawi.
“Track rekod kerajaan negeri membawa pelabur di Langkawi adalah sangat teruk, contohnya projek mega ‘Widad Langkasuka’ yang dikatakan berharga ‘berbilliun-billiun’ sedang menuju ke arah kegagalan. Katanya sedang cari pelabur baru… katanya arab la jugak, Wallahualam,” katanya lagi. – UMNO Online