Kerajaan Sentiasa Kaji Inisiatif Kurangkan Beban Pengguna Bayar Tol – Abdul Rahman

KUALA LUMPUR, 16 Nov – Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad memaklumkan kerajaan sentiasa mengkaji terma-terma terbaik dan kesesuaian untuk dimasukkan ke dalam perjanjian konsesi baharu atau perjanjian konsesi tambahan bagi mengimbangi obligasi kerajaan dan syarikat konsesi tanpa mengabaikan keperluan pengguna lebuh raya.

Malah katanya, kerajaan sentiasa mengkaji pelbagai inisiatif dan kaedah-kaedah yang boleh dipertimbangkan bagi mengurangkan beban pengguna dalam pembayaran tol ketika menggunakan lebuh raya di Malaysia.

“Selaras dengan keputusan kerajaan pada 18 Disember 2020 berhubung hala tuju lebuh raya bertol di Malaysia. Kerajaan telah melaksanakan penstrukturan semula melalui rundingan semula dengan syarikat konsesi yang melibatkan 19 lebuh raya di bawah pengurusan Amanat Lebuhraya Rakyat Berhad (ALR) yang dulu sebahagian besarnya dimiliki oleh Gamuda Berhad, Projek Lintasan Kota Holdings Sdn. Bhd. (PROLINTAS), IJM Corporation Berhad, ANIH Berhad dan PLUS Malaysia berhad.

“Penstrukturan ini dilaksanakan dengan penyusunan semula kadar tol dengan kadar tol yang lebih rendah atau pun kekal dengan kadar rata sehingga tamat tempoh konsesi. Penstrukturan semula ini juga dapat menjimatkan sejumlah RM53.78 bilion dalam bentuk komitmen pampasan oleh kerajaan pada masa hadapan di sepanjang tempoh konsesi sedia ada,” katanya pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat, Khamis.

Menurut beliau, bagi lebuh raya yang lain pula, rundingan masih berlangsung dan memakan sedikit masa untuk dimuktamadkan memandangkan penstrukturan ini memerlukan persetujuan kedua belah pihak iaitu kerajaan dan syarikat konsesi yang turut melibatkan pihak institusi kewangan untuk melabur di dalam projek lebuh raya sama ada dalam bentuk bon atau sukuk.

Abdul Rahman yang juga Ahli Parlimen Lipis seterusnya berkata semua cadangan penstrukturan lebuh raya akan diteliti seperti biasa melalui perbincangan di peringkat Unit Kerjasama Awam dan Swasta (UKAS), Jabatan Perdana Menteri dan agensi-agensi pusat yang berkaitan.

“Sebarang keputusan untuk meneruskan atau mengurangkan kadar tol perlu dibuat secara holistik dan konklusif kerana ianya bakal mengakibatkan implikasi kewangan yang tinggi kepada kerajaan dan pada masa yang sama kerajaan perlu mengekalkan keyakinan pelabur sedia ada.

“Perlu mematuhi terma perjanjian konsesi dan mengekalkan syarikat konsesi dalam industri lebuh raya supaya pengurusan aset lebuh raya ini seperti kos operasi dan penyenggaraan dapat dikekalkan di bawah tanggungjawab syarikat konsesi sekaligus mengurangkan beban kewangan kerajaan di masa hadapan,” ujar beliau. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.