Jangan Cabar Kedaulatan Tanahair… Ini Janji Saya Dan Kerajaan Malaysia – Azalina

KUALA LUMPUR, 10 Nov – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said menegaskan bahawa kerajaan akan ambil segala tindakan demi mempertahankan Malaysia dari ancaman pihak luar.

Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO berkata demikian menerusi hantaran pendek dalam laman Facebooknya.

“Jangan cabar kedaulatan Malaysia. Kerajaan akan ambil segala tindakan pertahankan kedaulatan dan setiap inci tanahair kita daripada ancaman luar. Ini janji saya dan Kerajaan Malaysia,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pengerang kini berada di London untuk fasa ketiga tuntutan lapan individu yang mengaku sebagai waris Kesultanan Sulu, bagi berjumpa dengan peguam-peguam lantikan Kerajaan Malaysia dalam menangani tuntutan pihak itu, seterusnya menyangkal taktik dan hujahan mereka secara komprehensif.

Ujar Azalina, ada beberapa keputusan besar dijangka dalam beberapa minggu akan datang.

“Biarpun kita telah mendapat keputusan yang memihak kepada Malaysia dalam Tuntutan Sulu di beberapa mahkamah seperti di Mahkamah Luxembourg dan Mahkamah The Hague, ancaman terhadap kedaulatan kita masih belum berakhir.

“Kes Tuntutan Sulu ini akan didengar pula oleh Mahkamah di Paris pada 16 November 2023 dan Mahkamah di Madrid pula pada 11 Disember ini.

“Saya telah mengadakan perjumpaan tertutup dengan peguam-peguam luar bagi membincangkan persediaan dan strategi seterusnya menghadapi perbicaraan akan datang,” katanya lagi.

Dilaporkan, Stampa telah memberikan award akhir sebanyak AS$14.9 bilion (RM62.59 bilion) kepada kumpulan lapan individu mendakwa sebagai waris Sultan Sulu dan Malaysia terpaksa menggunakan semua remedi undang-undang bagi membatalkannya di mahkamah Sepanyol, Perancis, Luxembourg serta Belanda.

Malaysia kini dalam proses membatalkan award akhir AS$14.9 bilion (RM62.59 bilion) yang diberikan oleh Stampa dalam kes yang dibawa oleh kumpulan terbabit.
Pada 2019, dilaporkan kumpulan lapan individu mendakwa sebagai waris Sultan Sulu telah memulakan tindakan perundangan di Mahkamah Sepanyol untuk mendapatkan pampasan bagi tanah di Sabah yang didakwa telah dipajak oleh nenek moyang mereka kepada sebuah syarikat perdagangan British pada 1878.

Pada 6 Jun lepas, Mahkamah Rayuan Paris mengekalkan keputusan membenarkan Malaysia mencabar award yang diberikan pada 25 Mei 2020 oleh Stampa dalam kes yang difailkan itu.

Malaysia melakar satu lagi kejayaan apabila Mahkamah Rayuan The Hague di Belanda pada 27 Jun menolak permohonan kumpulan Sulu untuk mengiktiraf dan menguatkuasakan award akhir tersebut di negara itu.

Dalam usaha mereka untuk menguatkuasakan award akhir itu, kumpulan Sulu dilaporkan cuba menyita aset syarikat petroleum Malaysia iaitu Petronas di Luxembourg dan Belanda selain menyasarkan aset diplomatik negara di Perancis (termasuk kedutaan). – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.