Penggulungan Belanjawan 2024… Alhamdulillah Semua Lancar – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 3 Nov – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan kesyukuran atas lancarnya penggulungan perbahasan Belanjawan 2024 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan, semalam.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah telah hadir ke sesi penggulungan terbabit di Dewan Rakyat.

“Alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar dan diharapkan semoga belanjawan ini akan terus memberi manfaat kepada rakyat seterusnya meningkatkan ekonomi negara secara keseluruhannya,” katanya dalam hantaran pendek menerusi laman Facebooknya berkaitan hal terbabit.

Terdahulu, Belanjawan 2024 itu diluluskan menerusi undian suara ketika sesi mesyuarat dipengerusikan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.

Seramai 85 Ahli Parlimen mengambil bahagian dalam sesi perbahasan RUU Perbekalan 2024 peringkat dasar yang bermula sejak 16 Oktober lalu.

Belanjawan 2024 bertemakan ‘Reformasi Ekonomi Memperkasa Rakyat’ yang dibentang Anwar di Parlimen pada 13 Oktober lepas, melibatkan peruntukan RM393.8 bilion iaitu belanjawan tertinggi pernah dibentangkan dalam sejarah Malaysia.

Ia dibahaskan di peringkat dasar selama lapan hari, disusuli penggulungan selama empat hari mulai 30 Oktober lalu. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit