Belanjawan 2024 Komprehensif, Bukti Kerajaan Peka Kukuh Fiskal Negara – Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR, 24 Okt – Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menyifatkan Belanjawan 2024 bersifat komprehensif yang memperlihatkan komitmen kerajaan dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara.

Katanya, bajet yang diumumkan juga menunjukkan penurunan defisit fiskal dalam Belanjawan 2024 sebanyak 4.3 peratus daripada 5 peratus pada tahun ini.

“Menteri Kewangan yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim peka terhadap defisit fiskal, hutang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) memang hendak sasarkan bawah 65 peratus.

“Beliau juga telah mengumumkan insentif yang dapat membantu rakyat dan salah satu yang terbesar adalah subsidi, tahun ini sahaja subsidi sahaja mencecah RM81 bilion walaupun bajetnya pada masa itu RM63.8 bilion, ini menunjukkan bahawa Kerajaan Perpaduan ini akan terus membantu rakyat yang memerlukan.

“Walaupun subsidi peruntukannya kurang daripada apa yang telah kita belanja dan pada tahun depan Perdana Menteri mengumumkan subsidi ini berterusan kepada mereka yang memerlukan.

“Malah bagi saya pentingnya juga ialah apakah ‘engine of growth’ untuk masa hadapan kerana ekonomi ini kalau kita tengok definisi KDNK ia merangkumi belanjawan pengguna, belanjawan kerajaan, perdagangan dan pelaburan,” katanya.

Tengku Zafrul berkata demikian pada program BAJET 2024: Cabaran Malaysia Menarik Pelaburan Asing yang disiarkan secara langsung malam tadi di Facebook UMNO Online.

Terdahulu, Anwar pada 13 Oktober lepas membentangkan Belanjawan 2024 bertemakan “Reformasi Ekonomi Memperkasa Rakyat” berjumlah RM393.8 bilion, paling tinggi dalam sejarah belanjawan negara.

Sementara itu, menyentuh berkenaan Rang Undang-Undang (RUU) Tanggungjawab Fiskal (FRA) yang dibentangkan di Dewan Rakyat baru-baru ini, Tengku Zafrul berkata ianya penting untuk dibawa bagi memperlihatkan komitmen kerajaan untuk mendukung disiplin dalam aspek fiskal.

Jelas beliau, melalui ini juga ianya juga bakal memberikan keyakinan kepada pelabur asing dan tempatan.

“Perdana Menteri dalam ucapannya berkata menyerahkan kuasa Menteri Kewangan kepada Parlimen. Urusan fiskal negara ini akan lebih telus, rakyat akan tahu di manakah kerajaan akan fokus kalau kita tidak dapat menepati sasaran.

“Sekiranya ada sasaran yang tidak dicapai kena bentangkan di Parlimen dan memberi pencerahan, ini adalah semak dan imbang yang baik.

“Ini juga selaras dengan prinsip Ekonomi Madani kita untuk lebih telus, bertanggungjawab dan inklusif. Oleh itu penting saya rasa kita beri penekanan bahawa ini adalah salah satu permulaan untuk reformasi ke arah pengurusan kewangan yang lebih baik untuk negara,” ujar beliau. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit