Cegah Radikalisasi: SEARCCT Laksana Kempen Naratif Positif, Fokus Nilai Murni – Muhamad Alamin

KUALA LUMPUR, 18 Okt – Pusat Seranta Asia Tenggara Bagi Mencegah Keganasan (SEARCCT) telah melaksanakan kempen-kempen naratif positif yang memfokuskan nilai-nilai murni sekaligus meningkatkan daya tahan komuniti digital.

Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Muhamad Alamin berkata, keberkesanan SEARCCT boleh dilihat menerusi peranannya dalam melaksanakan pelbagai program bagi mencegah radikalisasi.

“Pusat Serantau Asia Tenggara Bagi Mencegah keganasan atau ringkasnya SEARCCT berfungsi sebagai sebuah pusat latihan dan penyelidikan dalam bidang pencegahan keganasan.

“Justeru, keberkesanan SEARCCT boleh dilihat menerusi peranannya dalam melaksanakan program-program latihan dan bina upaya di samping terlibat dengan aktiviti penyelidikan, kesedaran awam serta pencegahan radikalisasi secara dalam talian menerusi penghasilan, penyebaran naratif barat.

“Bagi tempoh Januari 2018 sehingga Ogos 2023 SEARCCT telah melaksanakan 116 program yang memberi manfaat kepada 4,886 peserta daripada pelbagai dasar seperti pekerjaan, penguatkuasaan undang-undang dan masyarakat awam termasuklah ahli-ahli akademik, golongan belia, pelajar universiti dan organisasi masyarakat sivil dari dalam dan luar negara. Daripada jumlah tersebut, 4,425 orang adalah peserta tempatan dan selebihnya adalah peserta antarabangsa,” katanya ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat sebentar tadi.

Jelasnya, program-program yang telah dianjurkan tersebut telah meningkatkan keupayaan para peserta dalam bidang pencegahan keganasan yang turut disertai oleh pelbagai institusi dan organisasi.

“Program-program ini berjaya meningkatkan pengetahuan dan keupayaan para peserta dalam bidang pencegahan keganasan dan telah dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai organisasi termasuklah agensi peneraju dalam bidang menentang keganasan, pihak swasta, institusi pendidikan, pertubuhan pemikir dari dalam dan luar negara.

“SEARCCT juga telah memperkenalkan program syarahan bersiri, University Lecture Series (ULS) bagi tujuan membina ‘mental firewall’ dalam kalangan pelajar IPTA (institut pengajian tinggai awam) dan IPTS (institut pengajian tinggi swasta) agar mereka tidak mudah terpengaruh dengan ideologi ekstremis ganas.

“Selain itu, bengkel-bengkel khusus turut dianjurkan dengan pendekatan rentas bidang seperti sukan, bola keranjang, futsal, e-gaming dan seni sebagai wadah yang dapat memberi kesedaran dan membina kemahiran mencegah ekstremis ganas,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut memberi jaminan bahawa SEARCCT akan terus menggiatkan usaha melaksanakan program dan terus peka dalam arus perkembangan semasa.

“SEARCCT juga telah melaksanakan kempen-kempen naratif positif yang memfokuskan nilai-nilai murni seperti perpaduan, kasihan dan toleransi selkaligus meningkatkan daya tahan digital komuniti dalam media sosial terutamanya Facebook pada tahun 2019 sehingga Disember 2022 dan diperluaskan kepada aplikasi Instagram, Twitter, YouTube dan TikTok.

“Pada tahun ini, SEARCCT telah meraikan ulang tahun penubuhannya dengan penganjuran SEARCCT International Conference yang bertemakan ‘Building Digital Resilence in Preventing and Countering Violence Extremism’ dan satu program belia iaitu bengkel serantau pada Jun lalu.

“SEARCCT akan terus menggiatkan usaha-usaha untuk merancang dan melaksanakan program-program serta sentiasa peka terhadap arus perkembangan agar menjadi sebuah pusat latihan dan penyelidikan dalam bidang pencegahan keganasan,” katanya lagi – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit