Pilihlah Amizar Ganti Allahyarham Datuk Seri Johari Di Pelangai, Seru Wan Rosdy
BENTONG,5 Okt – Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai bertujuan untuk menggantikan wakil rakyat ekoran kematian penyandangnya sebelum ini, Allahyarham Datuk Seri Johari Harun.
Justeru kata Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail Barisan Nasional (BN) sekali lagi mengetengahkan calon untuk menggantikan Johari pada PRK Sabtu ini dengan meletakkan anak tempatan Datuk Amizar Abu Adam.
“PRK diadakan ekoran kekosongan. Mahu gantikan wakil rakyat daripada UMNO dan calon yang lama Allahyarham Datuk Seri Johari telah meninggal dunia…nak ganti sahaja untuk sambung urusan bagi meneruskan segala perancangan dan pembangunan urusan rakyat di sini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Sembang Santai Bersama Veteran Tentera di Kampung Bukit Gajah, di sini, Rabu petang.
Turut hadir calon BN, Amizar dan pimpinan parti.
Wan Rosdy seterusnya menambah Pelangai masih memerlukan tumpuan dan wakil rakyat seharusnya daripada parti yang membentuk kerajaan.
“Kita di sini masih memerlukan pembangunan dan wakil rakyat seharusnya daripada kerajaan…kerajaan negeri perpaduan. Begitu juga di peringkat pusat.
“Alhamdulillah kita urus kerajaan dengan baik. Begitu juga pelbagai aspek kebajikan untuk rakyat…sebab apa kita boleh bagi semua itu…ini kita ada hasil yang baik,” tambahnya.
Ujarnya lagi masyarakat di DUN Pelangai sebenarnya tidak ada pilihan lain dan Amizar merupakan calon BN yang sewajarnya menjadi pilihan.
“Pelangai tidak ada pilihan…perlu undi Amizar supaya dia boleh bawa hasrat rakyat ke atas…mudah kalau wakil rakyat sama dengan kerajaan negeri. Kita undilah Datuk Amizar demi kesinambungan Pelangai dan yakin Pahang akan terus maju dengan adanya kestabilan politik dan perpaduan.
“Jadi Sabtu ini keluar undi awal-awal. Kalau ada yang datang hasut jangan mudah terpedaya,” serunya.
PRK DUN Pelangai diadakan ekoran kematian Johari dalam nahas pesawat ringan di Elmina, Shah Alam, pada 17 Ogos lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 7 Oktober sebagai hari pengundian bagi memilih wakil rakyat baru kawasan itu. – UMNO Online