Khaled Harap Pertemuan Bersama Tsinghua Universiti Dapat Beri Impak Signifikan Kepada Sektor Pendidikan Negara

KUALA LUMPUR, 20 Sept – Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berharap agar kunjungan hormat Tsinghua University dapat memberikan impak yang signifikan dan dapat menyumbang kepada usaha memartabatkan sektor pendidikan tinggi negara.

Jelasnya, pertemuan tersebut diadakan bagi membincangkan kerjasama dalam sektor pendidikan tinggi kedua-dua buah negara memandangkan institusi tersebut merupakan antara yang terbaik di dunia dan asia.

“Menerima Kunjungan Hormat daripada Tsinghua University yang diwakili oleh Presidennya, Prof. Wang Xiqin bersama delegasi.

“Pertemuan ini bagi membincangkan kerjasama dalam sektor pendidikan tinggi antara kedua buah negara. Tsinghua University merupakan universiti penyelidikan awam di China yang sering berada pada kedudukan terbaik Asia dan dunia. Ramai tokoh terkemuka yang telah dilahirkan, antaranya ialah Presiden China, Xi Jinping dan hartawan, Sun Hongbin,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Menurutnya, Presiden universiti tersebut telah menyatakan kesediaan mereka dalam menjalin pelbagai bentuk kerjasama termasuklah membangunkan platform kebolehpasaran pelajar.

“Sebagai sebuah universiti yang diistilahkan sebagai ‘power factory of China’ oleh Forbes, pastinya pelbagai ilmu dan kepakaran dapat dikongsikan bersama Institut Pengajian Tinggi (IPT) di negara ini. Presidennya telah menyatakan kesediaan untuk menjalinkan pelbagai bentuk kerjasama termasuklah membangunkan platform kebolehpasaran pelajar dan program mahasiswa rentas nasional.

“Semoga pertemuan ini dapat memberikan impak yang signifikan dan dapat menyumbang kepada usaha memartabatkan sektor pendidikan tinggi negara, insya-Allah,” katanya lagi.

Sementara itu, Mohamed Khaled turut mengucapkan tahniah kepada Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di atas pelantikan baharu dan juga kepada Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) atas pelantikan semula sebagai Naib Canselor.

“Tahniah diucapkan kepada Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang baharu, Tan Sri Dr. Nik Norzrul Thani Nik Hassan Thani serta Pelantikan Semula Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Datuk Dr Kasim Md Mansur.

“Tan Sri Dr. Nik Norzrul Thani merupakan tokoh berpengetahuan luas dalam bidang korporat dan undang-undang. Beliau merupakan Pengerusi bagi beberapa institusi terkemuka negara seperti Sime Darby Plantation Bhd dan Majlis Perniagaan Malaysia-Singapura (MSBC). Beliau turut mengarang beberapa karya, antaranya ialah ‘Legal Aspects of the Malaysian Financial System’ serta ‘Development and Impact of Islamic Finance on Southeast Asia’.

“Dengan kepakaran dan pengalaman yang dimiliki oleh kedua-dua tokoh ini, diharap agar mereka dapat memberikan sumbangan dan perkhidmatan yang terbaik kepada universiti masing-masing bagi melonjakkan kecemerlangan sektor pendidikan tinggi negara, Insya-Allah,” katanya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.