KSP RMK12: Segerakan Subsidi Bersasar Untuk Perkukuh Fiskal Negara – Johari
KUALA LUMPUR, 12 Sept – Bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menggesa agar pelaksanaan subsidi secara bersasar di bawah Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) disegerakan agar dapat membantu kerajaan mengukuhkan kedudukan fiskal negara.
Ahli Parlimen Titiwangsa itu berkata sekiranya subsidi pukal dapat dikurangkan dan seterusnya dihentikan, ia bukan sahaja akan membantu kerajaan dari segi penjimatan awam tetapi juga dapat mengekang ketirisan dari segi penyelewengan dan penyeludupan.
Selain itu, pelaksanaan subsidi bersasar juga akan dapat membantu kerajaan mencapai sasaran untuk menurunkan defisit fiskal kepada 3.5 peratus menjelang 2025 berbanding 5.6 peratus pada tahun lepas.
“Saya percaya sebesar manapun penguasaaan, ia tidak akan dapat menghalang ketirisan subsidi ini daripada terus berlaku di masa akan datang sekiranya perbezaaan harga subsidi dan harga sebenar di pasaran adalah besar,” katanya sewaktu membahaskan usul KSP RMK12 di Dewan Rakyat, hari ini.
Pada tahun lepas, kerajaan membelanjakan sejumlah RM77.3 bilion untuk subsidi petrol, diesel, gas petroleum cecair (LPG), minyak masak paket, elektrik, ayam, telur dan lain-lain.
Kerajaan mengunjurkan sejumlah RM64 bilion akan dibelanjakan untuk subsidi bagi tahun ini.
Pada ucapan Belanjawan 2023, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan negara menanggung kerugian sebanyak RM10 bilion berikutan penyelewengan dan penyeludupan barangan bersubsidi.
Sementara itu, Johari turut menggesa agar kestabilan politik dapat dicapai untuk memberi peluang kepada kerajaan melaksanakan dasar KSP RMK12, termasuk subsidi bersasar dengan segera tanpa perlu menangguhkannya lagi.
“Dasar subsidi bersasar ini tidak popular tetapi (ia) akan memberi tekanan kepada kerajaan.
“Dengan kekuatan kerajaan (pada masa) ini, saya percaya kita perlu mengharungi kesukaran jangka pendek ini bagi manfaat jangka panjang,” katanya.
Dalam pada itu, Johari menjelaskan penguncupan defisit fiskal yang diunjurkan pada 3.5 peratus menjelang 2025 dijangka mampu menyuntik keyakinan pelabur asing untuk melabur di Malaysia, sekali gus melonjakkan permintaan ringgit.
Beliau berkata kedudukan fiskal yang lebih baik secara tidak langsung menunjukkan kemampuan kerajaan dalam mentadbir negara dan juga keupayaan membayar semula faedah hutang.
Selain desifit fiskal, katanya, peralihan ringgit turut dipengaruhi oleh beberapa faktor ekonomi lain seperti kestabilan politik, pengurusan ekonomi yang baik, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang mampan, pengurusan kadar dasar semalaman, penarafan kredit serta aliran masuk dan keluar modal.
“Apa yang kita perlu lakukan dalam tempoh 5-10 tahun akan datang adalah memastikan asas ekonomi negara terus kukuh kerana ia akan memberi kesan kepada negara (pada masa ini) dan juga generasi akan datang.
“Secara teorinya, memang benar penyusutan ringgit mampu bantu melonjakkan eksport negara dengan menjadikan kos eksport lebih rendah, tetapi kita perlu sedar bahawa kedudukan Malaysia dalam rantaian bekalan global yang juga memerlukan kita untuk mengimport barangan perantaraan.
“Penyusutan ringgit akan menyebabkan kos import barangan perantaraan meningkat sekali gus mejadikan barangan eksport negara tidak kompetitif,” kata Johari. – BERNAMA