Proses Representasi Adalah Proses Biasa Prosiding Jenayah – Peguam

KUALA LUMPUR, 6 Sept – Peguam, Datuk Ahmad Zaidi Zainal memaklumkan bahawa representasi adalah proses biasa di peringkat mana-mana mahkamah bagi pertimbangan oleh Peguam Negara.

Katanya representasi adalah hak Peguam Negara untuk menerus atau mengugurkan sesuatu pertuduhan.

“Proses representasi adalah suatu proses biasa untuk mana-mana prosiding jenayah, bermula di Mahkamah Majistret sehingga Persekutuan.

“Sebagai contoh kes pengedaran dadah berbahaya, apabila orang kena tuduh disabit di Mahkamah Tinggi dan dijatuhkan hukuman mati mandatori, pergi ke Mahkamah Rayuan sahkan 39B kemudian ke Mahkamah Persekutuan dan dimasukkan representasi kemudian Peguam Negara bersetuju menurunkan 39A(2) untuk pemilikan dan bukan pengedaran.

“Yang saya hendak tunjukkan bahawa walaupun mendapat dua sabitan hukuman mati tapi masih lagi boleh dipertimbangkan oleh Peguam Negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Eksklusif Bersama Pasukan Pembelaan yang disiarkan secara langsung di Facebook UMNO Online malam tadi.

Selain Ahmad Zaidi turut sama menjadi panel adalah peguam, Hamidi Mohd Noh dan Shahrul Fazli Kamarulzaman yang merupakan pasukan peguam Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid sepanjang perbicaraan berlangsung.

Membabitkan kes Ahmad Zahid, beliau memaklumkan pasukan guaman telah memasukkan sebanyak lapan representasi sepanjang perbicaraan.

“Paling tebal sekali adalah sebanyak 285 muka surat kerana ia telah dimasukkan setelah pembelaan dipanggil.

“Kami telah mengumpulkan semua keterangan, bukti, gambar dan sebagainya untuk menunjukkan kepada pihak pendakwaan bahawa ini yang sebenarnya berlaku,” ujar beliau.

Menurut beliau lagi, pasukan guaman juga telah memohon kepada mahkamah untuk melawat ke dua lot banglo di Countries Height yang dikatakan dibeli Ahmad Zahid untuk kegunaan peribadi menggunakan dana Yayasan Akalbudi.

“Ramai yang tahu apabila Ahmad Zahid telah dituduh menggunakan dana Yayasan Akalbudi membeli dua lot banglo di Countries Height untuk kegunaan sendiri.

“Kami telah memohon kepada mahkamah untuk melawat bagi mendapatkan gambaran sebenar. Alhamdulillah hakim telah bersetuju, kita pergi ke tempat tersebut. Jelas dari segi visual dua tahfiz itu wujud,” katanya.

Malah katanya ketika ucapan pembukaan daripada pihak pendakwaan juga dikatakan tidak ada satu sen dana Yayasan Akalbudi digunakan untuk tujuan kebajikan ataupun amal jariah.

“Ucapan pembukaan ini adalah daripada pihak pendakwaan biasanya untuk kes jenayah, dalam ucapan tersebut dikatakan tidak ada satu sen pun dana Yayasan Akalbudi digunakan untuk tujuan kebajikan ataupun amal jariah.

“Tetapi apabila dipanggil saksi pendakwaan, kami sendiri telah menyoal balas dan berjaya mendapat keterangan daripada saksi pendakwaan yang mengatakan ratusan juta belanja Ringgit telah dibelanjakan oleh Yayasan Akalbudi untuk kebajikan seperti membina masjid di seluruh dunia.

“Termasuk di Afrika Selatan, Korea Selatan, New Zealand, China, Australia dan sebagainya. Paling banyak yang mana saya sendiri sedang dalam proses mendedahkannya berpuluh masjid di Thailand termasuk maahad tahfiz, yang masih sedang mengumpulkan bahan bukti,” katanya. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.