Jasa UMNO Amat Signifikan Dalam Mencapai Kemerdekaan Negara – Bung
KOTA KINABALU, 31 Ogos – Ketua UMNO Sabah Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin berkata, UMNO memainkan peranan yang signifikan dan besar dalam memerdekakan Tanah Melayu daripada keangkuhan penjajah.
Katanya, kejayaan membawa kemerdekaan kepada tanah air pada 31 Ogos 1957 antara kejayaan terbesar UMNO yang tidak akan sesekali dilupai.
Menurut Bung, UMNO melakukannya semata-mata kerana sayangkan negara demi memastikan masa depan tanah air bangkit dengan keazaman serta jati diri yang luhur dan tulus.
“UMNO sangat sinonim dengan kemerdekaan, hal itu berlaku disebabkan sejak awal lagi elit politik menempatkan diri di baris depan sebagai pejuang kemerdekaan,” katanya dalam perutusan sambutan Hari Kemerdekaan Negara ke-66 hari ini.
Bung berkata sumbangan UMNO sejak kemerdekaan negara telah pun membawa kemakmuran, kestabilan dan kesejahteraan ke seluruh pelusuk tanah air.
“Itu semua tidak akan terzahir tanpa semangat kebersamaan dan kesetiaan para pimpinannya yang bergerak sebagai sebuah pasukan walau apa halangan mendatang,” katanya.
Menurut beliau, meskipun berdepan pelbagai cabaran, UMNO sukses menguruskan negara yang terdiri pelbagai kaum, budaya, agama dengan cemerlang, gemilang dan terbilang.
Bagaimanapun menurut Bung yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO kemakmuran serta kestabilan politik yang sedia ada telah dicemarkan oleh segelintir pemimpin yang dulunya bersama UMNO.
Katanya lagi, mereka tidak pernah jemu cuba mengubah keharmonian kemakmuran serta kestabilan yang ada agar selari dengan agenda songsang mereka.
“Selain berhadapan dengan golongan ini, ada juga pihak yang memainkan sentiman kaum dan agama dalam agenda politik mereka sehingga menjejaskan keharmonian dan perpaduan kaum demi mencapai cita-cita mereka,” katanya.
Katanya golongan ini bukan sahaja berusaha memecah-belahkan perpaduan demi mencapai hasrat serta cita-cita mereka, lebih malang mereka yang meninggalkan UMNO turut melupakan jasa parti serta pemimpin terdahulu yang berjuang atas nama UMNO demi menuntut kemerdekaan negara dan mengisi keperluan negara sesudah merdeka.
“Mereka yang meninggalkan perjuangan ini, lupa jasa UMNO yang bukan sahaja mengangkat mereka sebagai pemimpin seperti hari ini malah ketika bersama di dalam UMNO mereka juga berpeluang memiliki kesenangan hasil dari perjuangan parti keramat ini,” katanya.
Lebih malang dan menyedihkan menurut Bung golongan ini juga turut memperlekehkan dan menghina UMNO serta melupakan jasa serta sumbangan pemimpin-pemimpin UMNO terdahulu walaupun mereka sedar mereka berada dalam kedudukan sekarang bermula dari perjuangan pemimpin sebelum ini.
“Namun parti yakin muslihat mereka tidak akan berjaya selagi ahli UMNO terus kuat bersatu padu dan berpegang kepada prinsip perjuangannya,” katanya.
Menurut Bung yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah kemerdekaan yang dirintis oleh UMNO merupakan perjuangan dan perjalanan yang panjang, kemerdekaan yang dinikmati oleh rakyat khususnya di Sabah perlu terus diisi dengan nikmat kemakmuran dari pelbagai aspek ekonomi, pendidikan, kesihatan dan tidak kurang pentingnya agenda pembangunan infrastruktur untuk kesejahteraan rakyat. – UMNO Online