UMNO Tegas Isu Pelanggaran Disiplin Parti, Salah Laku Akan Disiasat – SUA

KUALA LUMPUR, 25 Ogos – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memaklumkan parti mengambil perhatian serius sebarang isu pelanggaran disiplin mahupun perlakuan yang boleh dianggap menyalahi peraturan dan menyanggahi Perlembagaan parti.

Katanya, Lembaga Disiplin UMNO juga diberikan kuasa penuh dan berkecuali untuk menyiasat, memperhalusi dan mengambil tindakan wajar atas sebarang kes-kes perlanggaran disiplin yang berlaku.

“Fasal 20.9 (f) dalam Perlembagaan UMNO jelas menggariskan prinsip penting untuk setiap ahli ‘Memelihara nama baik dan maruah parti’ dan tidak melakukan apa sahaja bentuk tindakan, perlakuan, penulisan mahupun percakapan yang boleh ditafsirkan menyanggahi prinsip ini.

“Penyertaan mana-mana ahli dalam satu-satu pakatan yang tidak dianggotai UMNO atas nama apa sekalipun juga turut diperincikan dalam Fasal 20.11 Perlembagaan UMNO,” katanya menerusi satu kenyataan media.

Asyraf juga dalam pada itu menyeru ahli-ahli UMNO untuk kekal bersatu dan bersetia dengan wadah yang menjadi induk penting dalam Kerajaan Perpaduan hari ini.

“Bagi terus memelihara Islam dan memartabatkan agenda Melayu-Bumiputera sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan UMNO,” ujar beliau. – UMNO Online
https://umno-online.my/wp-content/uploads/2023/08/Kenyataan-Media-SUA-25-Ogos-2023.pdf


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di linktr.ee/umno #UMNOBangkit