Pasca-PRN Ruang Terbaik Nilai Keberhasilan Parti, Jangan Tuding Pada Presiden Saja – Sharif Musa

KUALA LUMPUR, 15 Ogos – Ketua UMNO Bahagian Lahad Datu, Sharif Musa Sharif Mabul memaklumkan bahawa pasca Pilihan Raya Negeri (PRN) adalah pentas yang sesuai untuk menilai dan melihat sejauh mana impak dan keberhasilan parti.

Jelasnya, jika sebelum PRN pelbagai skil dan cara di peringkat Bahagian parti, badan bukan kerajaan (NGO), individu dan lain-lain telah melobi untuk menjadi calon pilihan raya yang kononnya, mereka mampu menang apabila bertanding, mencambahkan idea dan mendakwa rakyat akan memilih mereka.

“Maka adalah tidak adil meletakkan sepenuh kesalahan atas keputusan yang kurang memberangsangkan hanya di atas bahu Presiden sedangkan sebelum PRN, pelbagai pihak melobi, di mana program ada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi maka pelobi ada di situ sehinggakan ada yang ke pejabat menunggu dari awal pagi hinggalah ke malam, ada juga yang sampai ke rumah Presiden, memujuk dengan pelbagai cara agar terpilih menjadi calon.

“Presiden tentunya telah bertungkus-lumus berunding dengan kepimpinan parti termasuk Pakatan Harapan (PH) dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Pelbagai pihak mencari kerusi lebih untuk ditandingi, sehingga UMNO mendapat 108 kerusi untuk enam negeri.

“Inilah tugas sebagai Presiden, mencari kerusi lebih untuk memenuhi kehendak Bahagian-Bahagian UMNO bertanding. Selepas itu, kerusi yang ditandingi terletaklah di bahu calon untuk menang. Bukan lagi di bahu Presiden,” katanya kepada UMNO Online.

Katanya, UMNO yang mewakili Barisan Nasional (BN) bertanding di 108 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berjaya menang 19.

“Alhamdulillah! Pencapaian terbaik adalah di Negeri Sembilan dengan menang 14 daripada 17 kerusi DUN ditandingi.

“Tahukan sahabat seperjuangan semua bahawa perjuangan UMNO hari ini tidak ternilai harganya. Hamparlah selautan mutiara, segunung emas dan permata, nilai dan maharnya, tidak akan pernah sama dengan sekeping maruah UMNO yang berjaya diangkat dari tapak kaki Tun Dr Mahathir, Tan Sri Muhyidin dan lain-lain untuk dikuburkan.”

Justeru beliau berharap agar kerangka minda kepimpinan UMNO pelbagai peringkat lebih terbuka iaitu mengadaptasi pasca-PRN untuk meneruskan perjuangan parti.

“Ini supaya kita tidak hanya menjadi sebuah bangsa yang reaktif dan defensif semata-mata.

“Hakikanya keputusan enam PRN hanya akan membawa kepada dua senario jika PH ingin membantu UMNO. Satu, Kerajaan Selangor, Pulau Pinang, dan Negeri Sembilan iaitu UMNO menjadi tulang belakang kerajaan dengan formula ada yang bertanding kalah dilantik penjawatan dalam kerajaan negeri.

“Dua, bagilah peruntukan khas, lantik pejawatan Ketua-Ketua Cawangan UMNO sebagai dalam penglibatan kepimpinan masyarakat iaitu terlibat sepenuhnya untuk menjaga keperluan rakyat,” katanya lagi. – UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit