Selepas DUN Jerteh, Pehimi Ingin Teruskan Khidmat Bakti Di Kota Putera
KUALA BESUT, 5 Ogos – Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Putera, Datuk Mohamad Pehimi Yusof melihat tawaran atau Akujanji BN Terengganu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini adalah yang terbaik.
Malah beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO Terengganu berpandangan tawaran tersebut jauh lebih baik dan cukup berbeza dengan yang telah dibuat serta dilaksanakan oleh kerajaan Pas yang menerajui negeri tersebut.
“Saya lihat janji atau tawaran yang dibuat oleh BN sekiranya dapat perintah kembali negeri Terengganu adalah jauh lebih baik daripada apa yang telah dibuat oleh kerajaan Pas sekarang atau pun sebelum ini.
“Kalau kita bandingkan dengan manifesto baharu mereka pun tawaran yang diberikan oleh BN Terengganu adalah jauh lebih baik. Kalau pengundi dapat menilai satu persatu tawaran dengan cara membuat perbandingan, saya yakin pengundi di seluruh Terengganu akan memilih BN.
“Apa yang penting tawaran BN adalah janji yang munasabah untuk kita tunaikan dan ianya tidak melibatkan bantuan daripada pusat dan tidak melibatkan dasar daripada luar Terengganu,” katanya kepada UMNO-Online.
Pehimi seterusnya menambah janji atau tawaran berkenaan adalah dalam kapasiti keupayaan negeri dan ianya adalah satu perkara yang boleh dilaksanakan dengan sebaiknya.
“Janji dan tawaran kita adalah dalam kapasiti keupayaan kewangan negeri serta kuasa yang ada jika rakyat berikan mandat pada 12 Ogos ini. Maka tidak mustahil janji ini dapat dilaksanakan secepat mungkin…. bergantung kepada kita sebab 100 peratus di bawah kuasa kita sekiranya diberikan peluang untuk mentadbir negeri nanti.
“Sebab itulah kita akan cuba gandakan kempen beritahu kepada pengundi tawaran kita untuk mereka buat pilihan. Kalau mereka dapat perhalusi tawaran itu saya yakin mereka akan memilih BN,” ujarnya.
Dalam perkembangan sama beliau yang sebelum ini merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jerteh seterusnya menegaskan segala naratif yang dibawa oleh pihak tertentu kononnya PRN boleh mengubah kedudukan kerajaan di peringkat pusat adalah satu kenyataan yang jauh tersasar.
“Dakwaan yang dilontarkan kepada pengundi bahawa PRN ini boleh ubah kerajaan persekutuan sebenarnya tidak benar sama sekali. PRN ini adalah menentukan siapa yang memimpin kerajaan Terengganu. Kerajaan di pusat tetap Kerajaan Perpaduan.
“Dalam menentukan kebaikan atau melibatkan soal pentadbiran negeri, kalau kita berpandangan positif tentulah kita mahu kumpulan yang sama barulah dapat laksanakan pentadbiran dengan licin.
“Sebab banyak perkara bukan sahaja berkait dasar tetapi juga kewangan. Negeri Terengganu memerlukan bantuan daripada pusat. Walaupun kita ada wang royalti tetapi ianya bergantung pembayaran daripada pusat.
“Sebab itu untuk melestarikan pembangunan dan program kebajikan, pendidikan, pelancongan di Terengganu ianya tidak dapat tidak kita kena selari dengan kerajaan pusat supaya perkara-perkara ini dapat dilaksanakan dengan mudah dan licin,” ujarnya.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14, Pehimi memenangi DUN Jerteh menewaskan calon Pas dan PKR dengan majoriti 1,381.– UMNO Online