DUN Bukit Lada Perlukan Pembangunan Dan Infra Rakyat, MB Kedah Tiada Visi – Said Ali
BUKIT LADA, 1 Ogos – Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Lada, Datuk Said Ali Said Rastan berharap pengundi dapat memberikannya mandat pada 12 Ogos ini bagi beliau melaksanakan segala agenda pembangunan untuk manfaat rakyat yang diabaikan oleh kerajaan negeri.
Ini kerana katanya, walaupun Bukit Lada ini adalah kawasan baharu namun banyak infrastuktur dan keperluan asas bagi rakyat tidak menjadi visi kerajaan negeri yang diterajui Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
“Kehidupan rakyat di sini sebahagiannya adalah penoreh getah, menanam padi dan peniaga-peniaga kecil. Banyak lagi perlu dibuat terutamanya keperluan-keperluan asas seperti tempat riadah, bersukan, hospital. Walaupun dekat dengan Alor Setar tapi pusat perubatan harus diberi perhatian bagi memenuhi keperluan masyarakat di sini.
“Kita tidak nampak apa-apa visi beliau nak bawa negeri Kedah serta membangunkan negeri ini. Bagaimana hendak laksanakan dan bila, tidak pernah dengar dalam ucapannya sama ada beliau sendiri mahu pun exco-exconya kerana pucuk pimpinan kerajaan negari tidak mempunyai perancangan dan meletakkan agenda-agenda pembangunan pada rakyat dan salah satu program untuk menaikkan negeri Kedah.
“Dari segi pembangunan iaitu jabatan-jabatan kerajaan seperti balai polis adalah sebuah bangunan yang lama dan usang. Keperluan untuk menambah anggota pun kerana keadaan balai polis tidak mungkin berlaku serta banyak lagi pejabat-pejabat kerajaan pusat yang sepatutnya ada di dalam satu-satu daerah masih tidak dapat diwujudkan. Saya yakin pada Kerajaan Perpaduan ini dapat direalisasikan selepas 12 Ogos ini sudah tentu banyak perkara perlu difikirkan dan dirancang oleh pihak kerajaan,” katanya kepada UMNO Online, di sini.
Kata Said Ali lagi, semenjak Pilihan Raya Negeri (PRN) bermula kedua-dua jentera iaitu Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) telah sepakat untuk memenangi ketiga-tiga DUN yang dipertandingkan.
“Sebelum PRN bermula telah dibuka bilik gerakan dan jentera BN/PH dapat kolaborasi dengan baik atas persefahaman dengan ketiga-tiga DUN Parlimen Pokok Sena. Di DUN Bukit Lada dipertandingi oleh BN, Bukit Pinang dipertandingi oleh PKR dan Derga ditanding oleh Dap.
“Jentera BN di semua tempat telah dapat menyesuaikan diri dengan jentera PH terutamanya di Bukit Lada. Kita sudah lama berlawan dengan mereka dan amat terkejut jentera dapat bersama-sama dengan mereka. Ianya cukup beri keyakinan bahawa jentera gabungan yang kuat ini akan membuktikan Bukit Lada ini akan diberi tentangan yang hebat,” katanya.
Beliau juga berharap agar BN/PH dapat membentuk kerajaan negeri.
“Kita harapkan BN dapat balik ambil negeri Kedah dan itulah paling penting. BN tidak mengharapkan sekurang-kurangnya 20 kerusi dan di mana tempat-tempat BN dipertandingkan dan tahu buat masa ini belum nampak perubahan secara besar-besaran.
“Kalau betul-betul bekerjasama, bergabung dengan elok 19 atau 20 kerusi boleh memenanginya. Kita lihat dari seminggu ke seminggu dan insya-Allah kalau ada ‘wave’ yang besar dan tidak mustahil di Melaka dan Johor, BN memenangi dengan hebat dan yakin akan berlaku sekali lagi di dalam PRN kali ini,” jelas beliau.
Dalam masa yang sama kata Said Ali, pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu rakyat dikelirukan oleh Perikatan Nasional (PN).
“Pada PRU ke 15 baharu-baharu ini rakyat keliru tentang siapakah kerajaan yang bertanding pada masa itu dan disebut sebagai kerajaan PN.
“Keputusan yang dibuat adalah salah satu aspek adalah kekeliruan rakyat. Sudah tentu dari segi kempen dari pihak PN kelihatan tersusun dan banyak dibelanjakan,” katanya.
Namun kini rakyat tahu yang memerintah sekarang ini adalah BN bersama PH dalam satu kerajaan yang dinamakan Kerajaan Perpaduan, ujarnya lagi. – UMNO Online