KKDW, MOT Bentang Perincian Ekonomi Madani Minggu Depan
KUALA LUMPUR, 27 Julai – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan memperincikan pelaksanaan agenda Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat, bagi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), minggu depan.
Bercakap kepada media selepas majlis peluncuran kerangka ekonomi itu oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah turut berharap, Malaysia dapat mencapai matlamat untuk memacu kedudukan yang teratas di rantau ASEAN, menerusi inisiatif itu.
“Saya sendiri akan membentangkan agenda terperinci KKDW pada Isnin, tentang bagaimana pelaksanaan yang diumumkan Perdana Menteri.
“Kita harapkan matlamat untuk memacu kedudukan Malaysia sebagai negara teratas di rantau ASEAN, dan juga untuk berada di kedudukan tinggi secara relatifnya dengan negara-negara (maju) di dunia,” katanya.
Bagi mencapai hasrat itu, Ahmad Zahid berkata ia memerlukan kerjasama dan bantuan daripada seluruh Jemaah Menteri dan agensi berkaitan di seluruh negara.
Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat, bertujuan mengangkat semula ekonomi Malaysia, akan membawa limpahan hasil bagi membolehkan rakyat menikmati kehidupan lebih berkualiti.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan dalam ucapan pada majlis itu berkata ‘Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat’ merupakan satu rencana menyeluruh bagi Malaysia menghadapi pelbagai cabaran dan isu-isu berkaitan daya saing dan tarikan negara sebagai destinasi pelaburan, serta menggariskan tindakan bagi menangani isu-isu semasa yang memberi kesan kepada kehidupan rakyat.
Selain itu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke turut akan memperincikan hala tuju bagi kementeriannya pada minggu depan, selain akan mengumumkan dasar baharu kepada pemohon lesen memandu dalam kalangan belia.
“Saya juga akan mengumumkan pada minggu depan satu dasar baharu yang akan memberikan kesenangan kepada golongan muda, khususnya mereka yang belum mendapatkan lesen memandu,” katanya. – BERNAMA