PRN Selangor: BN Tidak Tanding DUN Hulu Bernam

KUALA LUMPUR, 21 Julai – Keputusan Barisan Nasional (BN) untuk tidak meletakkan calon di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Bernam adalah langkah penyelarasan berdasarkan keadaan politik semasa, kata Pengerusi UMNO Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin.

Beliau berkata, perkara berkenaan bukan merupakan timbal balas malah ia dilakukan atas dasar mewujudkan keserasian dan kesatuan di antara parti yang membarisi Kerajaan Perpaduan dalam mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini.

“Ini bukan timbal balas tetapi kita juga mesti melakukan sesuatu untuk menyatakan kita sedia berunding dan melakukan sedikit penyelarasan bersesuaian dengan keadaan politik semasa.

“Saya melihat bukan Hulu Bernam tidak berpotensi untuk dimenangi BN kerana ia menjadi kawasan tradisi UMNO dan selepas rundingan maka sebab itu kita lakukan sedikit pertukaran untuk kita bertanding di kerusi DUN Batang Kali manakala di Hulu Bernam kita beri kepada Pakatan Harapan (PH),” katanya ketika ditemui selepas Program Kita Hulu Kelang bersama PMX di Padang Rumah Pangsa PKNS AU2, Keramat ,di sini hari ini.

Mengulas mengenai sentimen akar umbi dan jentera BN berkenaan keputusan itu, beliau yang juga calon bagi DUN Gombak Setia, berkata beliau akan mengadakan satu pertemuan dengan keseluruhan pimpinan Hulu Bernam untuk menjelaskan perkara berkenaan pada Ahad ini.

“Insya-Allah 23 Julai ini saya akan ke Hulu Bernam untuk bertemu dengan seluruh kepimpinan empat peringkat ahli UMNO dan BN Hulu Bernam untuk mereka memulakan tugas membantu calon PH yang akan diumumkan nanti,” katanya.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018, kerusi DUN Hulu Bernam dimenangi oleh Datuk Rosni Sohar daripada BN manakala Batang Kali dimenangi oleh Harumaini Omar yang ketika itu masih bersama PH sebelum membuat keputusan untuk menyertai parti Pejuang.

Kedudukan kerusi sebelum DUN dibubarkan ialah PH memiliki 40 kerusi (PKR-19, DAP-15, Amanah-enam) diikuti BN (lima), Bersatu (empat) dan Parti Bangsa Malaysia (dua) manakala PAS, PEJUANG serta WARISAN masing-masing satu kerusi selain seorang wakil rakyat Bebas.

Kerusi Batang Kali diisytihar kosong pada Februari lalu selepas wakil rakyatnya tidak hadir ke persidangan DUN melebihi enam bulan. – BERNAMA


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit