Kesepakatan Perpaduan Yang Cukup Baik Bagi UMNO/BN-PH Memenangi PRN Kedah

KUALA LUMPUR, 20 Julai – Ini adalah satu permulaan yang baik menunjukkan kesepakatan perpaduan antara UMNO/Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dalam memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kedah terutamanya kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di dalam Parlimen Langkawi, kata Exco Wanita UMNO Malaysia Hisham Suhaily Othman.

Jelasnya, bagi jentera UMNO/BN khususnya di Langkawi telah siap siaga dan akan bertanding DUN Ayer Hangat pada PRN kali ini.

“Jentera UMNO/BN di negeri Kedah khususnya bagi Parlimen Langkawi telah lama buat persediaan yang rapi dari awal dan menjalinkan hubungan yang baik dengan Pakatan Harapan (PH) bagi memenangi DUN Ayer Hangat dan Kuah.

“Kita bantu bersama-sama dari segi gerak kerja serta membantu terutamanya pengundi-pengundi mereka yang berada di DUN Ayer Hangat dan menunjukkan satu kolaborasi yang sangat positif serta bermakna.

“Kami mengharapkan agar pengundi di Langkawi ini melihat keserasian antara UMNO/BN dan PH serta beri kepercayaan dengan mengundi kedua-dua parti ini,” katanya kepada UMNO Online, di sini.

Beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Langkawi berkata sepanjang lima tahun wakil rakyat dari Bersatu berkhidmat di kedua-dua DUN tersebut, rakyat Langkawi tidak dapat menikmati apa-apa sentuhan dari mereka.

“Lima tahun wakil rakyat daripada Bersatu berkhidmat di DUN Kuah dan Ayer Hangat, masyarakat di sini tidak merasai sentuhan daripada wakil rakyat. Selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 ahli Parlimen Langkawi pun dari Bersatu tidak melakukan apa-apa malah masyarakat di sini pun tidak kenal ahli Parlimen mereka.

“Ini menunjukkan rakyat memerlukan sentuhan dari seorang ‘Yang Berhormat’ yang sentiasa ‘cakna’ kepada rakyat dan mudah didekati serta turun padang menyantuni mereka dan bukannya merasa keperitan,” katanya lagi.

Tegasnya, sepanjang UMNO/BN mentadbir negeri Kedah, wakil rakyat yang berkhidmat di setiap DUN sentiasa turun padang dan menyantuni rakyat.

“Ini adalah tradisi UMNO/BN dari dulu lagi. Terdahulu semasa era zaman pemerintahan BN, wakil rakyat dari BN sentiasa menyantuni serta mendengar permasalahan dari rakyat.

“Kita bantu rakyat, kita dekati rakyat, jika masyarakat ada permasalahan maka wakil rakyat dari UMNO/BN akan memudahkan urusan mereka.”

Tegasnya lagi, pada PRN ini adalah peluang yang terbaik bagi rakyat melakukan perubahan dan memilih wakil rakyat yang boleh membantu mereka. – UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di linktr.ee/umno #UMNOBangkit