Ibadah Korban Rapatkan Ukhwah Tanpa Mengira Fahaman Politik – Mohd Rafi

LABUAN, 3 Julai – Ibadah Korban dapat merapatkan ukhwah tanpa mengira fahaman politik malah menyuburkan semangat kerja berpasukan dan gotong-royong dalam kalangan umat Islam.

Ketua UMNO bahagian Labuan, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan berkata, ibadat korban diadakan bersempena peristiwa Nabi Ibrahim dan anak Baginda Nabi Ismail yang begitu banyak menyumbang pengajaran sekiranya dihayati.

“Ia tidak hanya memupuk semangat pengorbanan dalam diri, bahkan juga hubungan sesama insan dalam masyarakat. Ibadah korban ini juga peluang baik untuk kita berkongsi nikmat dengan orang lain.

“Sempena majlis korban yang dilaksanakan, kita dapat merapatkan hubungan ukhwah tanpa mengira fahaman politik kerana kita jemput semua untuk bertugas tanpa mengira latar belakang mereka.

“Kerjasama sebegini sangat penting supaya dapat mewujudkan satu jaringan kerjasama dalam kalangan masyarakat walaupun dari latar belakang politik yang berbeza,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri program Korban Perdana anjuran UMNO Labuan di Pekarangan Masjid Al-Ehsan Sungai Labu Labuan kelmarin.

Antara pemimpin yang turut hadir di majlis itu termasuklah Ketua Cabang PKR Labuan Simsudin Sidek; Pengerusi parti Amanah Labuan Datuk Dr Ramli dan Wakli Ketua Warisan Labuan.

Tambah Mohd Rafi, penglibatan masyarakat iaitu lebih 300 orang yang datang membantu menjayakan program tersebut amat menggalakkan bagi melancarkan program yang dianjurkan pada kali ini.

“Insya-Allah pada tahun hadapan, kita akan buat dengan lebih baik, mungkin ada penambahan jumlah sumbangan lembu , supaya daging dapat diagihkan dengan lebih meluas dan lebih ramai penduduk dapat merasainya,” katanya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.