Noraini Raikan Pelajar Cemerlang SPM, Pembakar Semangat Untuk Lebih Berjaya

KUALA LUMPUR, 26 Jun – Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad hari ini berkesempatan menyantuni pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Sulaiman yang memperoleh keputusan cemerlang pada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), baru-baru ini.

Beliau berkunjung ke rumah para pelajar tersebut sebagai menghargai  komitmen yang diberikan mereka dalam memperoleh kejayaan.

“Seramai 1,129 calon SPM 2022 di negeri Johor telah berjaya mencapai keputusan cemerlang semua A dalam semua mata pelajaran yang diduduki.

“Hari ini, saya bersama rakan-rakan menyantuni pelajar-pelajar cemerlang dari SMK Dato’ Sulaiman yang memperolehi keputusan 9A di dalam SPM mereka,” katanya menerusi satu perkongsian di Facebook.

Dr Noraini yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong dalam pada itu turut memberikan hadiah kepada mereka sebagai tanda penghargaan serta pembakar semangat untuk meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

“Semoga pemberian hadiah yang diberikan ini menjadi pembakar semangat untuk mereka terus berjaya dan cemerlang pada masa akan datang.

“Tahniah dan terima kasih juga diucapkan kepada ibu dan ayah pelajar-pelajar serta para pendidik yang turut sama-sama berusaha bagi memastikan kecemerlangan ini dapat dicapai,” ujar beliau. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.