Tanah Terbiar Di Melaka Jadi Kawasan Pertanian Berteknologi Tinggi – KM

MELAKA, 24 Jun – Kajian menyeluruh akan dilaksanakan bagi mengenal pasti semua tanah dan sawah terbiar sekitar negeri Melaka untk diambil alih dan dibangunkan sebagai kawasan tanaman pertanian berteknologi tinggi, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Katanya, kajian berkenaan akan dilaksanakan Jabatan Pertanian negeri ekoran Melaka berdepan dengan kesediaan tanah pertanian yang terhad pada masa hadapan, sekiranya langkah proaktif tidak dilakukan.

Beliau berkata cadangan itu turut meliputi tanah terbiar milik persendirian, agensi kerajaan dan swasta itu penting bagi menjadikan pertanian sebagai sektor yang mampan, berdaya tahan dan berteknologi tinggi sehingga dapat memacu ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Menurutnya, cadangan itu bertujuan mengutamakan sekuriti makanan negara dan negeri selaras agenda Dasar Agromakanan Negara 2021-2030.
Beliau berkata demikiankepada pemberita selepas merasmikan Melaka AgroFest 2023 selama tiga hari bermula semalam di Dataran Sejarah, Ayer Keroh, di sini, hari ini.

Ab Rauf berkata kajian Perancangan Guna Tanah Kawasan Sumber Makanan Negara (KAGUMN) oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Malaysia (PLANMalaysia), menunjukkan terdapat 11,398.67 hektar kawasan pengeluaran makanan di negeri Melaka pada 2021.

Katanya, kajian itu merndapati sekurang-kurangnya seluas 21,757.63 hektar atau 13.01 peratus kawasan pengeluaran makanan perlu dijamin untuk memastikan sekuriti makanan dapat dicapai secara menyeluruh di negeri itu menjelang 2040.

“Selain itu, penggunaan aplikasi teknologi pertanian moden juga adalah sangat digalakkan selari dengan dasar kerajaan ke arah Revolusi Industri (IR 4.0) bagi sektor pertanian dalam usaha meningkatkan produktiviti pengeluaran hasil pertanian selain dapat mengurangkan kos pengeluaran dalam jangka masa panjang,” katanya.

Beliau menyeru semua warga tani untuk mengambil langkah proaktif agar pengeluaran hasil pertanian ladang, penternakan dan perikanan di Melaka dapat ditingkat dan diperkasa dari semasa ke semasa.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata Melaka AgroFest 2023 akan dijadikan penanda aras pelaksanaan program itu bagi skala yang lebih besar dan meriah pada tahun hadapan sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM 2024).

Katanya, Melaka AgroFest 2024 pada tahun hadapan juga akan diadakan pada musim durian dan lokasi penganjurannya mungkin ditukar ke Melaka Tropical Fruit Farm di Sungai Udang di sini bagi menggamit lebih ramai pengunjung. – BERNAMA


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit