Kukuhkan Solidariti Depani PRN, Calon Mewakili Suara Parti Bukan Individu – Dr Asyraf

TASEK GELUGOR, 23 Jun – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengajak seluruh ahli parti untuk mengukuhkan solidariti dan permuafakatan dalam usaha membantu parti mencapai kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang.

Beliau yang mengadakan pertemuaan dengan pimpinan UMNO bahagian seluruh Pulau Pinang berkata, perkara berkenaan cukup penting kerana ianya akan melicinkan segala usaha dan gerak kerja yang akan dilaksanakan kelak.

“Siapa yang jadi calon akan ditentukan oleh Pengerusi UMNO Negeri Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir dan kepimpinan tertinggi UMNO namun yang penting calon PRN ini mewakili suara parti dan Barisan Nasional (BN). Dia (calon) jadi wakil rakyat adalah wakil rakyat BN kerana yang paling penting parti bukan individu atau peribadi. Kalau ada semangat ini dan ubah pendekatan, perangai, persepsi maka insya-Allah UMNO memenangi dalam PRN ini.

“Ini disebabkan UMNO hanya memenangi dua kerusi pada pilihan raya lalu walaupun kerajaan negeri Pulau Pinang memberikan empat kerusi namun UMNO masih berusaha mendapatkan lagi kerusi pada PRN ini. Sekiranya UMNO mendapat kerusi lapan atau sembilan diharapkan kena pastikan kerusi-kerusi itu wajib untuk kita menang.

“PRN ini kena pastikan undi orang Melayu jangan berganjak. Kalau undi dengan orang Melayu tidak berganjak, insya-Allah kerusi-kerusi dengan PH (Pakatan Harapan) ini dan kerusi BN kita menang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada taklimat Kerajaan Perpaduan di Perda Convention Centre, Kubang Menerong, di sini, malam tadi.

Turut hadir Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir; Timbalannya, Datuk Ir Dr Shaik Hussein Mydin; Ketua Penerangan UMNO Negeri Pulau Pinang, Datuk Mohd Noor Ahmad; Naib Ketua Wanita, Datuk Norliza Abdul Rahim serta seluruh jawatankuasa UMNO bahagian Pulau Pinang.

Seterusnya Dr Asyraf menegaskan UMNO dan BN tetap kekal menjaga Perlembagaan negara dan agama Islam.

“Inilah satu-satunya negara di dunia yang mana perlembagaannya mentakrifkan negara ini ada agamanya. Islam agama Persekutuan dan tidak ada orang boleh pertikaikan UMNO membelanjakan jutaan ringgit untuk pembangunan Islam kerana itu hak parti ini dalam perlembagaan.

“Siapa yang meletakkan Islam dalam perlembagaan? UMNO dan BN yang letakkan Islam dalam perlembagaan. Ingat… ini perlembagaan kita, ini perjuangan kita. Perjuangan ini tidak boleh sesekali padam dan lupa dalam konteks ini menegak, mempertahan dan mengembangkan Islam,” katanya.

Tegasnya hanya UMNO yang boleh menjaga Islam, Raja-Raja Melayu dan sebagainya.

“Siapa nak jaga Islam? Siapa nak jaga Melayu? Siapa nak jaga Raja-Raja Melayu kalau bukan UMNO dan itu adalah prinsip perjuangan parti ini,” jelasnya. – UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di linktr.ee/umno #UMNOBangkit