Pas Delusi, Ibarat Kutu Lapar Hisap Darah – Hasmuni

KUALA LUMPUR, 1 Jun – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Datuk Hasmuni Hassan menyelar tuduhan Ketua Penerangan PAS Pusat Ir Khairil Nizam Khairudin yang menuduh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai penipu dalam isu kenyataan Tan Sri Haji Abdul Hadi Awang supaya ‘jangan nak perasan’ dengan jemputan menyertai Kerajaan Perpaduan hari ini.

Jelasnya, UMNO memang mengalu-alukan sebarang kerjasama yang memberi manfaat kepada negara tetapi perlulah ada tulus ikhlas.

“Ir Khairil… berbanyak muhasabah dan cermin dahulu muka anda sebelum menuduh Presiden kami menipu. Siapa yang tiada segan silu menipu dan tikam belakang untuk membentuk parti Perikatan Nasional (PN), bersatu tanpa maklumkan kepada UMNO di dalam Muafakat Nasional (MN) dahulu?

“Keikhlasan sebenar membentuk kerajaan bersama adalah ketika Pas diberi peluang tawaran seawal November 2022 dahulu, bukannya menjadi seperti seekor ‘kutu lapar’ yang mencari perumahan baru setelah habis dihisap darah Bersatu semasa dalam PN,” katanya kepada UMNO Online.

Jelas beliau lagi, Khairil sewajarnya harus bersifat profesional kerana rakyat sekarang ini memerhati gelagat Tan Sri Abdul Hadi Awang yang tidak habis-habis berpolitik.

“Rakyat memerhati gelagat Presiden PAS ini yang tidak habis-habis berpolitik sepanjang masa. Apabila tidak berjaya meruntuhkan Kerajaan Perpaduan terus menukar rentak kepada ingin menyertainya pula.

“Propaganda Pas ini tidak lebih kepada menyembunyikan niat sebenar mereka untuk meninggalkan Pengerusi PN (Muhyiddin Yassin) berseorangan dalam menghadapi pertuduhan mahkamah,” ujarnya.

Terdahulu, Khairil Nizam berkata demikian mengulas kenyataan Ahmad Zahid yang berkata, parti pimpinan Tan Sri Abdul Hadi Awang itu jangan perasan dipelawa menyertai Kerajaan Perpaduan. – UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit