Pasca Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan… Bukti Gabungan Mampu Jamin Kestabilan Politik

KUALA LUMPUR, 2 Jun – Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan yang diadakan pada 14 Mei lalu memberi bukti kepada rakyat bahawa gabungan parti-parti yang membentuk kerajaan Persekutuan pada saat ini dapat menjamin kestabilan politik.

Ketua Wanita UMNO Bahagian Segamat, Datuk Norshida Ibrahim berkata, menjelang Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 ini sudah semestinya para pimpinan akan mempromosikan keutuhan Kerajaan Perpaduan untuk mengikat kepercayaan rakyat.

“Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan yang diadakan pada 14 Mei 2023 di Dewan Merdeka Pusat Perdagangan Dunia (WTC) baru-baru ini sudah semestinya menjadi peristiwa penting bagi Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gagasan Rakyat Sabah dan juga lain-lain parti yang bergabung menjadi kerajaan.

“Sudah semestinya konvensyen ini dibuat untuk menunjukkan dan membuktikan kepada rakyat bahawa BN yang diketuai oleh UMNO kukuh bersama-sama PH serta lain-lain di dalam Kerajaan Perpaduan, demi memastikan rakyat mengundi parti-parti Kerajaan Perpaduan pada pilihan raya akan datang.

“Penganjuran PAU pada kali ini pula, pimpinan UMNO dijangka akan mempromosikan Kerajaan Perpaduan ini sama seperti dalam Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan bagi menambat hati para perwakilan UMNO pula supaya hendak atau tidak, UMNO perlu mengundi kesemua parti gabungan demi kelangsungan UMNO bersama-sama sebahagian di dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya kepada UMNO Online.

Mengulas lanjut, Norshida beranggapan bahawa parti perlu bersiap-siaga untuk meyakinkan para perwakilan dan jentera bahawa lawan UMNO pada kali ini ialah Perikatan Nasional (PN) dan bukan lagi PH.

“Di dalam PAU kali ini, UMNO perlu bersiap-siaga dan menyusun pemikiran perwakilan-perwakilan termasuklah jentera bahawa lawan UMNO adalah PN dan bukan lagi PH. Ianya dijangka akan ada kesukaran di sini untuk mencari titik persamaan tetapi pucuk pimpinan UMNO mungkin telah mempunyai cara yang terbaik untuk soal ini.

“Kita tidak perlu hairan jika pada kali ini PAU dibarisi dengan penghujah dan pembahas yang akan menjurus ke arah menyokong Kerajaan Perpaduan kerana itulah hala tuju kita yang baharu,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Norshida turut berharap agar para perwakilan yang akan hadir pada PAU kelak akan menjadikan perhimpunan ini sebagai wadah untuk menyusun kembali hala tuju parti.

“Pesanan saya kepada para perwakilan agar dapat bekerjasama dalam menjayakan PAU kali ini. Jadikanlah PAU 2023 ini adalah perhimpunan yang dapat menyusun kembali hala tuju UMNO ke arah mengembalikan UMNO sebagai pilihan rakyat yang utama.

“Kita fahami bahawa ianya sukar dan hendak atau tidak, kita perlu menjadi tonggak yang dominan di dalam negara menerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal kita tempuhi kelak. Perwakilan perlu mencari strategi yang baik demi mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap BN,” katanya lagi.

Pada 14 Mei lalu telah berlangsungnya Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur yang telah menghimpunkan para perwakilan daripada 19 buah parti membentuk kerajaan.

Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 pula bakal berlangsung pada 7 sehingga 10 Jun ini dan ianya akan mengumpulkan para perwakilan wakil daripada 191 bahagian seluruh Malaysia sebagai tanda manifestasi kepada semangat perjuangan parti yang tidak pernah luntur.

Terdahulu Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan bahawa PAU pada tahun ini diadakan lebih awal kerana selepas itu akan diadakan sesi jelajah ke negeri-negeri yang akan berhadapan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) dan menggerakkan jentera. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit