Pasca Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan… Usaha Bina Kefahaman Dan Sinergi Ahli Rentas Parti

KUALA LUMPUR, 30 Mei – Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan yang diadakan pada 14 Mei lalu merupakan satu usaha untuk membina kefahaman dan sinergi dari kalangan ahli rentas parti-parti membentuk kerajaan persekutuan.

Ketua Penyelidik O2 Research Malaysia (O2), Anis Anwar Suhaimi berkata, sasaran konvensyen tersebut adalah berdasarkan kehadiran perwakilan yang lebih tertumpu kepada ahli parti-parti berbanding rakyat kebanyakan.

“Sasaran Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan berdasarkan kehadiran perwakilan adalah lebih tertumpu pada ahli parti-parti kerajaan berbanding rakyat kebanyakan. Oleh itu, kesan pengukuhan kerajaan perpaduan melalui konvensyen ini di kalangan rakyat belum dirasai.

“Keutamaan rakyat masih berkisar kehidupan ekonomi harian mereka berbanding retorika politik. Satu bentuk wow factor sangat kritikal ketika ini diperlukan untuk menarik keyakinan rakyat kepada kerajaan ini,” katanya kepada UMNO Online.

Jelasnya, ahli-ahli UMNO memerlukan masa yang lebih panjang untuk menerima kerjasama ini kerana mereka perlu memulihkan diri dari luka-luka serangan lampau.

“Manakala berhubung sentimen ahli parti pula, sekurang-kurangnya konvensyen ini merupakan usaha untuk membina kefahaman dan sinergi dari kalangan ahli rentas parti.

“Akan tetapi, ahli parti masih memerlukan masa yang lebih panjang untuk menerimanya kerana mereka sendiri khususnya ahli UMNO perlu memulihkan diri dari luka-luka serangan yang melampau daripada Pakatan Harapan (PH) sejak 20 tahun gerakan reformasi Pakatan,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Anis Anwar menegaskan bahawa kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan PH sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) bukan hanya setakat pembahagian kerusi bahkan profiling parti-parti komponen.

“Ianya bukan semata-mata jumlah kerusi yang diagihkan antara BN-PH tetapi juga profiling kerusi kerana BN-PH mendapat agihan jumlah kerusi putih atau kerusi selamat yang setara antara mereka.

“Keduanya adalah inisiatif penerangan rentas parti untuk memastikan akar umbi dan jentera dari setiap parti dapat memberikan komitmen sebagai sebuah pasukan perpaduan memasuki gelanggang PRN,” katanya lagi.

Menurut beliau lagi, PH perlu memastikan agar prestasi UMNO semasa PRN ini cemerlang supaya parti itu percaya bahawa mereka masih relevan dan mendapat sokongan rakyat melalui kerjasama ini.

“Khusus bagi PH sebagai parti teras dalam kerajaan, mereka perlu memastikan agar prestasi UMNO semasa PRN ini cemerlang agar UMNO sebagai rakan strategik PH percaya bahawa mereka mampu relevan dan terus mendapat sokongan rakyat dalam kerjasama ini.

“Sekiranya petunjuk prestasi utama (KPI) PH ini tidak dicapai, ianya akan memaksa UMNO kembali memikirkan formula kelangsungan parti mereka berbanding kelangsungan kerajaan kerana UMNO hanya akan memiliki kuasa tawar menawar sekiranya mereka masih relevan dalam politik tanah air,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut beranggapan bahawa para pemimpin di peringkat parti-parti komponen kerajaan perlu mengeluarkan kenyataan yang boleh difahami dengan niat untuk menzahirkan keikhlasan dalam jalinan kerjasama politik.

“Diperingkat pemimpin parti-parti komponen kerajaan, kenyataan yang dikeluarkan boleh difahami dengan niat untuk menzahirkan keikhlasan dalam menjalinkan kerjasama politik.

“Mereka perlu membina momentum sebagai sebuah pasukan yang jitu untuk menuju PRN dalam gelombang hijau,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.