Tiada Kajian EIA Bagi Projek Jalan Berkembar Bukit Kukus

GEORGE TOWN, 13 Nov – Kajian Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) tidak dijalankan untuk projek pembinaan jalan berkembar Bukit Kukus, Paya Terubong setelah mendapat pengecualian daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS), persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang diberitahu hari ini.

Bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri Jagdeep Singh Deo berkata Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) dan Pelan Kawalan Hakisan dan Mendapan (ESCP) telah disediakan bagi memastikan pembinaan jalan itu dilaksanakan dengan baik.

“Projek pembinaan jalan berkembar ini merupakan kerja-kerja menaik taraf Jalan Bukit Kukus sedia ada dan membina jalan sambungan baharu dari Lebuhraya Thean Teik ke Lebuhraya Bukit Jambul. Jarak jalan yang dicadangkan bagi projek ini ialah sepanjang 5km iaitu 800 meter dibina oleh pemaju Geo Valley Sdn Bhd, 1.4km oleh PLB Land Sdn Bhd manakala baki jalan dibina oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

“Penglibatan dua syarikat berkenaan dalam projek ini adalah berdasarkan syarat-syarat pemajuan yang dikenakan ke atas kedua-dua pemaju. Bahagian jalan yang dibina oleh MBPP pula proses tender terbuka telah dijalankan bagi pelantikan kontraktor untuk projek ini,” katanya ketika menjawab soalan lisan Muhamad Yusoff Mohd Noor (BN-Sungai Dua) pada persidangan DUN Pulau Pinang, di sini.

Muhamad Yusoff ingin tahu sama ada kerajaan negeri membuat kajian tanah dan kajian EIA bagi pembinaan jalan berkembar itu serta penglibatan tiga pihak dalam projek berkenaan.

Menjawab soalan Muhamad Yusoff yang mempersoalkan tindakan kerajaan negeri meneruskan projek berkenaan walaupun terdapat masalah struktur tanah (peroi), Jagdeep berkata tidak timbul isu tanah peroi seperti yang dinyatakan oleh pakar Tanah Runtuh Pengurusan Bencana dan Hakisan Tanah dari Universiti Sains Malaysia, Prof Dr Habibah Lateh sebelum ini kerana reka bentuk pembinaan jalan berkembar itu dibuat berdasarkan hasil kajian tanah dan ujian-ujian tanah yang telah dijalankan.

Katanya bahagian tanah yang terlibat dalam kejadian tanah runtuh di tapak pembinaan projek itu pada 19 Okt lepas adalah cerun yang ditambun secara sementara untuk laluan kenderaan dan pelantar kerja.

“Punca tanah runtuh masih sedang dikaji. Pada ketika ini, pihak kerajaan negeri dan MBPP telah menubuhkan Jawatankuasa Siasatan Khas untuk menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian tanah runtuh dan seterusnya memberi cadangan penambahbaikan bagi mengelakkan kejadian tanah runtuh pada masa depan,” katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri akan meneruskan projek itu kerana ia adalah projek infrastruktur yang akan memanfaatkan rakyat, bagaimanapun pihaknya akan memastikan aspek dan langkah keselamatan di tapak pembinaan diperketatkan.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Goh Choon Aik (PH-Bukit Tambun) yang ingin tahu sama ada pengecualian EIA oleh JAS itu menyebabkan kajian terperinci tidak dijalankan sepenuhnya berikutan penemuan aliran air di kawasan pembinaan itu yang menjadi punca kepada kejadian tanah runtuh itu, Jagdeep berkata pihaknya sedang menunggu laporan siasatan berhubung insiden itu.

“Saya pun hendak jawapan tersebut. Apabila kajian selesai kita akan dapat jawapan tersebut sama ada dia patuhi ataupun tidak kerana ini semua garis panduan yang perlu dipatuhi mereka sebagai jurutera geoteknikal dan kontraktor.

“Kita harap siasatan dapat diselesaikan secepat mungkin. Sekiranya mana-mana pihak tidak ikuti garis panduan yang ditetapkan termasuk undang-undang maka tindakan boleh diambil,” katanya.

Kejadian tanah runtuh itu dilaporkan berlaku di tapak projek jalan berkembar Bukit Kukus, kira-kira 1.56 tengah hari, 19 Okt lalu yang mengorbankan sembilan orang manakala empat lagi cedera dan turut sama tertimbus 13 kontena dan sebuah rumah kongsi.

Insiden tanah runtuh di Paya Terubong itu merupakan kejadian kedua seumpamanya berlaku di negeri ini selepas tanah runtuh di tapak projek perumahan mampu milik di Lengkok Lembah Permai, Tanjung Bungah tahun lepas yang meragut nyawa 11 pekerja terdiri daripada seorang rakyat tempatan, lima Bangladesh, dua Indonesia, dua Myanmar dan seorang warga Pakistan. – Bernama

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.