Hang Tuah Din Nasihat Pas Jagalah Parti Masing-Masing

KUALA LUMPUR, 26 Mei – Kenyataan Ketua Penerangan Pas, Khairil Nizam Khirudin berhubung cabarannya agar Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meletak jawatan Timbalan Perdana Menteri sekiranya Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) kalah dalam pilihan raya di enam negeri kelak bukan perkara baharu malah menimbulkan seribu satu persoalan.

Ketua Penerangan UMNO Perak, Datuk Hang Tuah Din berkata ini kerana ketika Pas mengalami kekalahan teruk pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor serta Melaka sebelum ini, tidak timbul pula sebarang gesaan mahupun sebarang kenyataan terhadap kepimpinan mereka.

Malah tegas beliau lagi masing-masing mengambil sikap berdiam diri serta tidak pula menuding jari terhadap kepimpinan atasan khususnya Datuk Seri Abdul Hadi Awang selaku Presiden parti berkenaan setelah prestasi teruk pada PRN tersebut.

“Justeru pada saya kita jagalah parti masing-masing. Mereka jaga parti mereka dan kita jaga parti kita. Malah kita juga tidak perlu melatah terhadap kenyataan provokasi seumpama ini dan hanya mengambil sikap tunggu dan lihat apa yang akan berlaku kelak.

“Daripada satu aspek lain pula, inilah kelebihan UMNO dan inilah kelebihan yang ada pada Barisan nasional (BN) yang sentiasa menjadi tumpuan pihak lawan terutama terhadap institusi kepimpinan presiden,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Khairil Nizam dalam satu kenyataan baru-baru ini mencabar supaya Ahmad Zahid berundur secara terhormat sekiranya pakatan BN dan PH gagal meraih sokongan rakyat dalam PRN di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Hang Tuah yang juga Ketua UMNO Gopeng seterusnya menambah masing-masing parti sudah ada formula tersendiri untuk menghadapi PRN kelak dan biarlah masing-masing bergerak dengan adunan tersendiri.

Keputusannya kelak tambah beliau lagi terserah kepada rakyat untuk membuat dan sudah tentu masiing-masing sudah mempunyai pilihan tersendri dan pihak-pihak tertentu pula tidak perlulah membuat kenyataan awal.

“Tidak perlulah buat kenyataan ‘provokasi’ yang bukan-bukan. Tumpu kepada parti masing-masing. Cumanya jangan nampak yang jauh sahaja bak kata pepatah gajah seberang laut nampak, kuman di depan mata pula sebaliknya,” ujar beliau. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit