PTPTN, Dulu PH Yang Laungkan Tak Perlu Bayar… Sekarang Apa Jadi?
KUALA LUMPUR, 12 Nov – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) terus dibidas lantaran isu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang terus menjadi polemik.
Bekas Pengerusinya, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata sebenarnya, pada tahun 2013-2014 apabila Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli menyebut berkali-kali untuk menghapuskan PTPTN maka telah berlaku penurunan pembayaran balik yang amat besar sekali sehingga menjejaskan pusingan balik.
“Sedangkan waktu itu Barisan Nasional (BN) memang bersungguh-sungguh mahu mengutip tapi yang selalu mendesak, yang mewar-warkan mahu menutup, mahu mensabotaj adalah mereka di sebelah sana yang dah jadi kerajaan hari ini.
“Janganlah sama seperti YB Simpang Renggam (Dr Maszlee Malik)… baucer buku dibuat oleh kerajaan BN tapi dia pun kelim sedangkan dulu menentang,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Lenggong berkata demikian ketika mencelah dalam ucapan perbahasan Belanjawan 2019 yang dilaksanakan oleh Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin mewakili ketua pembangkang, di Parlimen hari ini.
Dalam ucapan perbahasannya, Khairy turut membidas kerajaan PH yang begitu mudah berjanji bagai bulan dan bintang.
“Janji PTPTN untuk bayaran balik sehingga gaji graduan mencapai RM4,000 tiada lagi kedengaran, manifesto itu pun sudah masuk dalam tong sampah, bahkan sekarang gaji melebihi RM1,000 pun sudah wajib dibayar dengan potongan gaji.
“Ini pengumuman yang dibuat, PTPTN kalau gaji lebih RM1,000 wajib potong… sekarang ini kadar kurang dari gaji minimum dah kena potong untuk PTPTN.”
Tegasnya, pengecualian bayaran bagi graduan dengan Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama yang sebelum ini diberikan kepada semua pelajar kini hanya dihadkan kepada peminjam dari keluarga B40 sahaja, itu pun hanya potongan pinjaman bukannya biasiswa penuh.
“Kerajaan jangan segan dan malu untuk meneruskan usaha dan idea BN seperti menawarkan PTPTN menjadi Pinjaman Boleh Ubah dengan kadar bayaran mengikut pencapaian, tawaran diskaun bagi penyelesaian penuh dan pembayaran konsisten akan diteruskan serta akan ada elaun sara hidup khas kepada pelajar daripada keluarga miskin tegar.
“Ini memang kita dah susun tak payah nak sentuh tapi dasar sekarang ini lebih kejam.”
Jelasnya, peruntukan bagi baucar buku atau Kad Siswa 1Malaysia (KADS1M) turut tidak dinyatakan, namun, selepas mendapat tekanan, barulah Menteri Pendidikan memohon kepada Perdana Menteri di dalam Mesyuarat Jemaah Menteri.
“Inilah masalah Kerajaan, tak fikir habis, banyak yang tertinggal dalam Belanjawan ini – jadi adakah perlu bentang semula?
“Impian untuk memperkasa universiti awam (UA) bertaraf dunia juga dilihat tidak penting kepada Kerajaan dengan pemotongan peruntukan terutamanya kepada Universiti Malaya, yang dikurangkan RM50 juta, yang kini sedang mendaki naik di tangga ke-85 universiti terbaik di dunia.” – MediaUMNO