Eratkan Hubungan Silaturahim, Tamatkan Sengketa Mulakan Perpaduan – Zawawi

KUALA LUMPUR, 26 April – Ketua Penerangan UMNO Negeri Kelantan, Datuk Zawawi Othman berkata, bulan Syawal merupakan medium terbaik mengeratkan hubungan silaturahim sesama umat Islam.

Ini kerana katanya silaturahim akan mengekalkan semangat perpaduan sekali gus membantu memperkukuhkan keharmonian yang sekian lama terjalin.

“Saya memohon maaf kepada semua ahli jawatankuasa, ahli-ahli UMNO dan semua rakyat di Parlimen Pasir Puteh andai kata ada silap dan salah. Mulakanlah perpaduan dikalangan kita dan cukuplah bersengketa.

“Aidilfitri ini hanya setahun sekali saja dan Syawal ini sangat penting maka gunakanlah sebaik mungkin. Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin.

“Kita berharap orang-orang Melayu Islam terutamanya bersatu padu dan maaf bermaafan sesama rakan-rakan serta perkukuhkan hubungan. Dalam masa yang sama kita kukuhkan negara, ekonomi, politik dan sebagainya agar dapat kembali menikmati pelaburan asing masuk ke negara kita,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh menasihati pemimpin-pemimpin pembangkang agar jangan mengadakan tunjuk perasaan selepas hari raya ini terutamanya yang sedang menghadapi pendakwaan.

“Selepas hari raya ini baik orang politik yang merasakan dirinya tidak salah maka jangan takut, yang salah terima saja. UMNO dulu tidak pernah mengadakan demonstrasi berarak ke hulu-hilir apabila pemimpin parti ditangkap.

“Seperti contoh ‘bossku’ dipenjarakan dan ahli UMNO tidak pernah berarak. UMNO menghormati undang-undang negara. Rakyat kena menasihati orang politik dan bukannya orang politik menasihati rakyat pada hari ini,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.