Hayati Makna Sebenar Hari Raya Dengan Penuh Kesyukuran
KUALA LUMPUR, 26 April – Berakhirnya Ramadan pastinya bakal dirindui dan Aidilfitri yang bakal dirai bukan hanya tanda kemenangan tetapi sambutan ini harus diraikan dengan penuh kesyukuran.
Bagi Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor, Noor Azleen Ambros berkata untuk menghayati pengertian hari raya yang sebenar, umat Islam digalakkan banyak bersyukur dan mengamalkan sikap sederhana ketika berbelanja atau menjamu selera.
“Aidilfitri tidak pernah hilang serinya marilah kita menghayati makna sebenar hari raya dengan menginsafi mereka yang kurang bernasib baik, mensyukuri nikmat yang ada, serta mengingati mereka yang dekat atau jauh mahupun yang telah pergi.
“Di kesempatan ini saya ingin mengambil peluang untuk mengucapkan selamat hari raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin kepada semua pimpinan dan ahli UMNO di seluruh negara. Marilah kita bertekad dan berjuang bersama-sama, eratkanlah silaturrahim dan tidak berpecah belah.
“Moga-moga kita dapat bersama-sama menghayati semangat Aidilfitri dan terus berusaha serta istiqamah dalam berjuang untuk parti dan akan terus mencapai kejayaan yang cemerlang,” katanya ketika ditemui UMNO Online, di sini.
Sementara itu bagi Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Perlis, Saiful Fariddil Jasmi mengingatkan pengguna lebuh raya dapat mengawasi pemanduan masing-masing agar tidak berlaku kecelakaan di jalan raya.
“Bagi yang nak pulang ke kampung berhati-hati di jalan raya semoga selamat sampai ke destinasi dan ingatlah orang yang tersayang. Bersabar ketika memandu dengan kerenah pengguna jalan raya yang lain. Insya-Allah kita dapat pulang dan berhari raya dengan lebih ceria bersama anggota keluarga.
“Marilah kita raikan hari kemenangan ini dengan penuh keinsafan dan bergembiralah dengan sanak-saudara dan ahli keluarga serta rakan-rakan. Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin kepada seluruh ahli UMNO dan rakyat Malaysia,” katanya lagi. – UMNO Online