Landskap Baharu Politik di Media Sosial, Bagaimana Mencoraknya?
ZAMAN baharu, media baharu, dan generasi baharu semestinya peredaran masa yang berlaku memerlukan penyesuaian dan perubahan struktur kepada banyak perkara. Trend orang muda pastinya dalam media generasi zamannya. Penyesuaian dan pendekatan sentiasa berubah kadang tanpa mempunyai masa untuk menarik nafas lega, setelah melakukan sesuatu yang baru muncul pula perkara baru yang lain. Politik dan media sosial adalah sesuatu yang sangat sinonim sekarang. Kedua-duanya sangat dinamik dan perlu dimanfaatkan bersama. Korelasi antara kedua-duanya perlu dikaji untuk amalan dan strategi yang optimum.
Media sosial adalah saluran yang mewakili komuniti dalam talian yang dipimpin oleh internet untuk berkongsi idea, pendapat dan persepsi dengan matlamat untuk memberi kesan dan telah berkembang pesat dalam beberapa dekad kebelakangan ini. Idea asas berpolitik di media sosial adalah untuk menjana buah fikiran dan pendapat umum khusus mengenai pergerakan politik atau isu tertentu. Perkembangan di media sosial terbukti penting dan memberi kejayaan kepada kempen pilihan raya dan penyertaan masyarakat dalam mengikuti perkembangan politik. Aktivisme politik sedemikian sangat berkesan kerana ia merangsang penglibatan langsung rakyat.
Pada Pilihan Raya Umum (PRU) Malaysia ke-14 (2018), pengundi berusia antara 21 hingga 40 tahun adalah 41 peratus daripada jumlah keseluruhan pengundi. Peratusan itu semakin meningkat apabila umur mengundi 18 tahun dan daftar pemilih automatik diperkenalkan dan pengundi daripada kumpulan ini membentuk 58% pengundi berumur 18 hingga 40 tahun pada PRU ke-15 dan ianya boleh melebihi 60% pada PRU ke-16 akan datang. Kumpulan umur ini adalah generasi yang bukan sahaja celik IT tetapi IT, telefon pintar dan media massa sudah menjadi kesebatian dalam kehidupan mereka.
Walau bagaimanapun, dengan perkembangan teknologi dan inovasi yang menghubungkan mana-mana ciptaan dengan akses internet, realitinya kini tiada julat umur tertentu yang boleh dikatakan aktif menggunakan telefon pintar dan media sosial. Malah mereka yang berusia lebih 60 tahun juga mahir memanfaatkan teknologi sedia ada yang menunjukkan bahawa peratusan pengundi yang boleh didekati melalui media sosial adalah sangat besar dengan jangkaan melebihi 80%. Sesungguhnya suatu hari nanti seluruh penduduk manusia akan celik pada medium media sosial ini.
Ahli politik berlumba-lumba untuk menjadi juara popular di media sosial, akan tetapi adakah mereka arif bagaimana matlamat ini dapat dicapai atau bagaimana untuk membuktikan keberkesanannya? Kajian dan perbincangan perlu diperluaskan untuk dimanfaatkan oleh ahliahli politik terutamanya parti UMNO yang berusaha untuk memperbetulkan kedudukan parti setelah tewas dua pilihan raya bagi meningkatkan kembali keyakinan, populariti dan pengaruh mereka.
Sesungguhnya perbicangan tentang ini kurang kerana ianya boleh dikata sesuatu yang baru bagi politik Malaysia selain ianya bukan perbincangan popular dalam dunia politik berbanding isu isu hangat semasa. Walau bagaimanapun apa yang berlaku boleh menjadi asas pengukuhan strategi dan memperkemaskan tindakan. Contoh-contoh di negara luar perlu dijadikan iktibar pengajaran kesan dan akibat manipulasi penggunaan media sosial untuk tujuan politik.
Media sosial sudah menjadi medan utama penyebaran pengaruh dan perang saraf utama antara parti politik dan ahli politik di seluruh dunia. Jika sebelum ini agenda disampaikan melalui televisyen, radio, risalah, dan ceramah kini ukuran populariti semua mekanisme tersebut tidak lagi relevan. Langkah utama sekarang ialah populariti di media sosial yang dapat dilihat dari bilangan “like”, senarai “comment” dan berapa banyak di”share” untuk setiap “posting”. Melalui blog, catatan media sosial, bahagian komen, “like” dan sebagainya, pengguna media sosial dapat berkumpul dengan individu yang sealiran, menyampaikan mesej mereka dan terlibat secara langsung serta aktif apabila sesuatu isu itu kena dengan kehendak atau minat mereka. Ianya akan membentuk satu rangkaian hubungan yang akrab atau sebaliknya secara yang serius.
Evolusi politik di media sosial kini sangat pantas. Pelbagai aplikasi baru muncul dan keperluan untuk menukar platform penggunaan kadang tanpa mempunyai masa untuk berfikir. Medium sosial utama, Facebook, sentiasa menjadi pilihan kerana penyesuaian yang selalu dilakukan menjadikan Facebook setakat ini relevan sepanjang ledakan teknologi media sosial. Menariknya, mekanisme komunikasi dua hala semua media sosial adalah sama iaitu adanya “like”, “comment” dan “share”.
Kekalahan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) menjelaskan kelemahan jentera dan pemimpin parti menggunakan media sosial secara serius, konsisten dan dengan strategi yang berkesan. Pasukan siber Pakatan Harapan (PH) memanfaatkan medium mudah dan pantas ini dengan naratif berskala besar secara bersama pihak pihak yang menyokong agenda mereka sehingga mencetuskan gelombang yang berjaya memberi imej negatif kepada BN. PH tidak menggunakan naratif bahawa mereka mampu melakukan apa sahaja, apatah lagi menonjolkan bahawa mereka mempunyai rancangan dan idea yang cemerlang untuk masa depan negara, tetapi secara konsisten mereka menyemai kebencian di media sosial untuk mempengaruhi pengundi muda dan bandar.
Akibatnya, segala jasa dan pembangunan serta perancangan yang baik BN lakukan terkubur dalam perang saraf. Kita tahu pengundi muda dan bandar adalah orang yang hidup berdampingan dengan media sosial dan PH telah berjaya memanfaatkan teknologi yang ada. Tidak banyak pembaikan serta perubahan yang BN dapat buat selepas itu dan ianya dihukum sekali lagi pada PRU ke 15 lalu. Sukar untuk mencari punca sebenar kenapa perkara sedemikian terjadi, namun struktur dan norma berorganisasi UMNO dari akar umbi lagi dilihat memainkan peranan besar terhadap UMNO itu sendiri. Di ruang yang terbuka ketika itu peluang dapat dihidu oleh PN, dengan menggunakan segala kapasiti yang ada, PN berjaya mengambil kesempatan bernilai yang terhidang.
Media sosial hanyalah medium penyampaian dan meraih populariti, sokongan rakyat dan pengundi boleh berubah pada bila bila masa. Segala janji apabila gagal ditunaikan akan menjadi bahan dan BN sebagai contoh telah menggunakannya untuk menjatuhkan PH pula pada pilihanraya pilihanraya kecil dan negeri selepas PRU 14. BN selepas hilang banyak kerusi dan sedar akan kekalahan, telah belajar daripada kegagalan. Namun momentum diseret dengan konflik ketidaksatuan akibat kononnya wujud beberapa kumpulan yang dinamakan kluster kluster pimpinan tertentu. Akibatnya keputusan dasar penting tidak terlaksana dan ianya memberikan kesempatan kepada musuh untuk meraih laba. Sudah tentu keputusan PRU 15 adalah berbeza jika ianya diadakan dalam tempoh yang tidak berapa lama selepas PRN Johor.
Peranan media sosial terbukti berkesan jika digunakan dengan teratur dan berstrategi untuk menebus kekalahan dan mengembalikan BN menjadi kerajaan. BN berjaya memenangi beberapa siri Pilihan Raya Kecil (PRK) dan Pilihan Raya Negeri (PRN), di mana media sosial digunakan sebaiknya. Pada PRN Johor, setiap calon dibekalkan jurukamera, juruvideo dan pengendali media sosial untuk berkempen di media sosial secara maksimum. Ini memberikan pendekatan yang sistematik dan konsisten bagi meraih kemenangan bermakna buat BN. Namun strategi tersebut tidak diguna pakai secara serius dan terkawal pada PRU 15, malah jentera siber BN lesu seolah ada sesuatu yang tidak kena berlaku.
Begitu juga contoh yang jelas bagi bekas Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Razak yang menjadi subjek serangan sebelum dan pada PRU 14, sekali lagi menjadi fenomena (bossku) dan menyerang mereka yang menyerang beliau sebelum ini, secara sepenuhnya melalui media sosial. Populariti dan pengaruh beliau berubah menjadi sebaliknya dalam tempoh yang singkat. Trend peningkatan penggunaan media sosial untuk kempen politik akan terus meningkat dan dijangkakan bahawa pada pilihan raya umum ke-16 ia akan mencetuskan ledakan luar biasa untuk mempengaruhi pengundi. Mesti ada rahsia, mesti ada cara dan mesti ada hubungan strategik pengaruh politik di media sosial yang boleh dieksploitasi dengan cara yang jelas. Kajian dan perbincangan secara khusus perlu sentiasa dilakukan, apa jua tindak balas atau kemahuan rakyat ianya dapat dinilai melalui reaksi mereka di media sosial.
Apa yang tersebar di media sosial, seperti aktiviti protes, boleh mencetuskan tindakan di luar talian dan boleh membawa kepada perubahan politik sebenar. Ahli politik dan pasukan mereka perlu tahu untuk mengawal maklumat yang tersebar di media sosial. Terdapat beberapa garis panduan dan pendekatan yang ditetapkan untuk menguruskan media sosial untuk kestabilan politik atau kemenangan dan ianya memerlukan penelitian yang mendalam. Populariti ahli politik sehingga mendapat lebih banyak undi adalah lebih penting daripada keupayaan dan kecekapan seseorang ahli politik itu sendiri untuk dipilih sebagai pemimpin. Keadaan ini pastinya akan menjejaskan kemajuan sesebuah negara. Seseorang pemimpin yang berkualiti dan berintegriti yang tidak popular di media sosial tidak dipilih. Ini akan menjadi situasi yang memberi kesan tak baik kepada negara.
Peranan media massa dalam politik tidak perlu diperjelaskan lagi. Kepentingannya sudah menjadi pakej politik hari ini. Telah didedahkan bahawa ramai ahli politik melengkapkan pasukan mereka dengan pegawai media yang secara khusus memainkan peranan di media sosial. Malah belanjawan besar diperuntukkan seolah mereka berlumba untuk mendapatkan kemahiran dan berpengaruh bagi meningkatkan populariti. Di media sosial, masa memainkan peranan penting. Tiada istilah, atau ruang untuk berlengah-lengah dan ianya adalah sekarang! bagi seseorang untuk menang atau menakluk sesuatu. Walau bagaimanapun, ia juga perlu dengan pendekatan bermaklumat dan berstrategi yang tentu saja perlu kajian yang komprehensif dan bersasar serta diskusi yang berterusan.
Perubahan pesat dan evolusi media sosial telah memberikan kesukaran pengkaji untuk melakukan kajian ditambah bidang ini masih baru. Walaupun baru, tempoh kematangannya cukup cepat sehingga setiap hari terdapat perubahan dan perkembangan dalam teknologi berkaitan yang berlaku. Cabaran pengaruh politik di media sosial.
Pada zaman Facebook, TikTok, Twitter, dan Instagram, penglibatan politik melalui media sosial lebih mudah berbanding sebelum ini. Bagi ahli-ahli generasi milenium, di mana kesalinghubungan didorong oleh suka, komen, perkongsian, dan retweet di laman media sosial, wacana yang dipolitikkan sering menjadi viral, dibantu dengan kos hampir sifar serta topik menarik. Pilihan raya pertama yang anak muda ambil bahagian boleh digambarkan sebagai penglibatan rasmi mereka ke dalam alam politik sebenar. Oleh itu, pengantaraan sosial dengan golongan muda untuk tujuan politik memainkan peranan penting terhadap keputusan yang mereka lakukan. Cara yang berjaya untuk menggerakkan pengundi muda adalah melalui rakan sebaya dan ibu bapa, berbanding kempen luar seperti pendidikan sivik, program politik, dan pendedahan media. Kesemua parti politik telah mengambil pendekatan mendekati pengundi muda sebagai kumpulan sasar tertentu dengan membuat program politik dan membangkitkan isu menarik atau menjuarai isu berkait golongan ini.
Kesimpulan
Maklumat yang disampaikan melalui media massa boleh mencapai kepada khalayak yang lebih besar dan menyumbang kepada sosialisasi politik rakyat tanpa perlu kempen politik secara fizikal secara besar besaran. Kematangan parti-parti politik di Malaysia terus meningkat mengikut perubahan semasa. Landskap politik baharu berubah melalui teknologi digital dan gaya hidup digital pengundi. Parti yang sebelum ini bergelar juara atau berpengaruh secara konvensional tidak akan dapat mempertahankan kedudukannya jika gagal membuat penyesuaian siknifikan dengan situasi semasa. Kajian mendalam dan berterusan diperlukan untuk penyediaan dan sokongan untuk strategi politik seterusnya. Juara politik masa depan adalah juara pengetahuan mengikut perkembangan teknologi semasa.
Oleh: Norman Sapar
**********************************