Barisan Kepimpinan Parti Perlu Bekerja Lebih Keras, Tampil Prestasi Luar Biasa
KUANTAN, 14 April – Dalam usaha mengembalikan semula sokongan rakyat kepada UMNO/Barisan Nasional (BN), barisan kepimpinan parti tidak boleh lagi leka sebaliknya perlu bekerja keras bagi menampilkan prestasi luar biasa.
Ketua Pergerakan Puteri UMNO Negeri Pahang, Nurul Aslina Saman berkata, gabungan muka baharu dan lama hasil manifestasi para perwakilan pada musim pemilihan lalu dapat memberikan nafas baharu kepada parti keramat itu.
“Gabungan muka baharu dan lama merupakan satu strategi yang menarik. Hal ini demikian, melalui gabungan tersebut nafas baru dapat disuntik, sekali gus menyingkirkan stigma masyarakat terhadap barisan kepimpinan yang dikitar semula dari pemimpin lama.
“Memandangkan politik hari ini dilihat dinamik dan berkembang mengikuti peredaran zaman, jelaslah bahawa orang baharu terutamanya golongan muda perlu diberi peluang untuk memimpin kerana kepimpinan yang lama mungkin sudah tidak relevan lagi dengan tuntutan politik kini.
“Tapi, tidak dinafikan bahawa tunjuk ajar dari orang lama sebagai orang berpengalaman amat penting. Jadi, gabungan muka lama dan baru ini sebenarnya bagus kerana mereka boleh melengkapi antara satu sama lain dalam membangunkan lagi negara,” katanya kepada UMNO Online.
Jelasnya, para pemimpin juga perlu memahami dan memikirkan solusi bagi menangani isu-isu kritikal dalam usaha memenangi semula hati rakyat.
“Dalam usaha mengembalikan semula sokongan rakyat, barisan para pemimpin tidak boleh lagi leka dan perlu lebih berkerja keras dalam menampilkan prestasi luar biasa. Ini kerana, rakyat tidak hanya melihat pada janji-janji manis pemimpin ketika bermanifesto tetapi mereka juga inginkan bukti.
“Para pemimpin juga perlulah memahami dan memikirkan solusi bagi menangani isu-isu kritikal bagi mendapatkan semula sokongan rakyat. Selain itu, strategi menawan golongan prominen seperti golongan muda, golongan pekerja kampung dan lain lain perlulah diberi penekanan yang lebih serius,” katanya lagi.
UMNO/Barisan Nasional (BN) mula mengalami kemerosotan undi sejak Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 apabila berlakunya tsunami politik Cina dan tsunami politik India pada PRU ke-13.
Bahkan, undi UMNO/BN terus merosot pada PRU ke-14 apabila buat kali pertama parti yang memerintah selama 61 tahun itu hanya memperoleh 79 berbanding 133 kerusi Parlimen pada PRU ke-13.
Pada PRU ke-15, saingan sengit berlaku apabila wujudnya sebuah gabungan baharu yang dilihat rakyat mampu untuk menggantikan perjuangan UMNO/BN iaitu Perikatan Nasional (PN).
Keputusan PRU ke-15 menyaksikan BN memperoleh 30 kerusi, PH (82), PN (73), GPS (23), Gabungan Rakyat Sabah (enam), Warisan (tiga), Bebas (dua) serta Parti Bangsa Malaysia dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat masing-masing satu kerusi. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman