Barisan Kepimpinan Puteri UMNO Angkat Sumpah Untuk Sesi 2023/2026
KUALA LUMPUR, 30 Mac – Barisan kepimpinan Pergerakan Puteri UMNO Malaysia mengangkat sumpah jawatan bersama-sama Ketuanya, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi dan Naib Ketua, Siti Sokhleha Nordin, malam tadi.
Lafaz ikrar sumpah jawatan dan taat setia ini dibuat bagi sesi baharu iaitu 2023-2026, sebelum menandatangani dokumen ikrar tersebut, di Ibu Pejabat UMNO, Menara Dato Onn.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki juga hadir pada mesyuarat berkenaan bagi menyaksikan lafaz ikrar tersebut di samping melaksana diskusi bagi merangka pelan strategi baharu untuk sayap parti itu.
Mesyuarat exco ini adalah yang pertama dilaksana selepas Pemilihan UMNO berjalan dengan lancar membabitkan 187 bahagian di seluruh negara.
Seramai 20 calon disahkan memenangi jawatan exco bagi sesi 2023-2026.
Untuk rekod, Persidangan Tahunan UMNO Cawangan dan Pemilihan Jawatankuasa Cawangan, Wanita, Pergerakan Pemuda, Puteri Cawangan telah bermula pada 1 Februari dan berakhir pada 26 Februari 2023 lalu.
Pada 11 Mac 2023 akan diadakan Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Wanita, Pergerakan Pemuda serta Puteri Bahagian. Pada tarikh yang sama turut akan diadakan Pemilihan Exco Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri peringkat Pusat.
Pemilihan UMNO berakhir pada 18 Mac 2023 dengan berlangsungnya Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian bersama Pemilihan MKT UMNO. – UMNO Online