Manfaatkan Ramadan Untuk Bentuk Penyatuan Ummah – Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR, 24 Mac – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu rakyat khususnya yang beragama Islam memanfaatkan bulan Ramadan untuk membentuk penyatuan ummah.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata perbezaan pendapat dan ideologi politik tidak seharusnya memecahbelahkan perpaduan yang dibina selama ini.
“Ramadan ini kita lupakan perkara-perkara ketidaktentuan dalam hal pandangan yang berbeza…kita tak mahu ummah kerana terlalu melayankan perbezaan akan mengakibatkan kabilah yang taksub pada kumpulan tertentu.
Apatah lagi dalam kita tangani ada yang mendakwa mereka lebih Islam daripada orang lain, kumpulan itu lebih iman dari orang lain, guna hadis, guna al-Quran, itjmak ulamak dan qias mengikut selera masing-masing, kita lupakan itu semua, perbezaan warna-warna ini harus kita singkirkan daripada sekarang,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika menghadiri Majlis Santunan Kasih Ramadan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di Masjid Batu 8, Gombak Utara, dekat sini hari ini.
Majlis yang pertama kali diadakan itu akan diteruskan di 12 negeri lagi sepanjang Ramadan ini.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid juga mahu semua pihak yang membentuk Kerajaan Perpaduan terus mengeratkan hubungan seterusnya membentuk keserasian antara satu sama lain.
Beliau berkata ia penting kerana keakraban dalam kalangan pentadbir dan pegawai di semua peringkat akan membolehkan permasalahan rakyat ditangani dengan berkesan. – BERNAMA