Pengundian Pemilihan UMNO Bermula Esok, Ke Arah Mencorak Masa Hadapan Cemerlang
KUALA LUMPUR, 17 Mac – Mesyuarat Perwakilan akan berlangsung secara serentak pada esok, 18 Mac yang turut menyaksikan Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian bersama Pemilihan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.
Berlangsung di seluruh negara, ianya akan dipantau oleh Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU) yang berperanan dalam memastikan perjalanan pemilihan kali ini berjalan lancar serta mengikut lunas-lunas seperti yang termaktub dalam Perlembagaan UMNO.
Mesyuarat bahagian akan berjalan seperti biasa pada pagi esok, sebelum perwakilan mengambil tempat dalam melakukan pengundian bagi Jawatankuasa UMNO Bahagian bersama Pemilihan MKT UMNO.
Sementara itu, dalam meraikan proses demokrasi dalam parti, majlis bagi memperkenalkan calon-calon di peringkat Pusat juga diadakan di seluruh negara.
Ianya bermula di Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Kedah/Perlis, Perak, Sabah, Selangor, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Kelantan dan berakhir di Terengganu pada Rabu.
Pengenalan tersebut dianggap sebagai ruang bagi para calon berkempen dengan kesemuanya terikat kepada tataetika yang telah digariskan dalam Perlembagaan UMNO dan JPU.
Untuk rekod bagi jawatan Naib Presiden, lapan calon menawarkan diri iaitu Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Datuk Seri Mahdzir Khalid, Datuk Seri Azalina Othman Said, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Datuk Seri Hasni Mohammad dan Mohd Yusof Musa@Jamaludin.
Manakala bagi calon Ahli Majlis Tertinggi (MT), seramai 95 orang layak bertanding antaranya Datuk Seri Ahmad Maslan, Datuk Seri Jalaluddin Alias, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Datuk Seri Md Alwi Che Ahmad, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.
Terdahulu pada Sabtu lepas menyaksikan pemilihan di peringkat Wanita, Pergerakan Pemuda Dan Puteri UMNO masing-masing bagi peringkat Pusat dan bahagian yang menyaksikan Datuk Seri Dr Noraini Ahmad mempertahankan jawatan sebagai nombor satu dalam Wanita serta Datuk Norliza Abdul Rahim sebagai naib.
Manakala Ketua Pergerakan Pemuda UMNO dimenangi Mohamad Akmal Salleh serta Naib, Mohd Hairi Mad Shah. Bagi Pergerakan Puteri pula, dimenangi Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi dan jawatan Naib Ketua, Siti Sokhleha Nordin. – UMNO Online