Pengundian Pemilihan UMNO Bermula Esok, Peluang Perwakilan Tentukan Pemimpin Masa Hadapan

KUALA LUMPUR, 10 Mac – Pemilihan UMNO bagi sesi 2023/2026 akan bermula pada esok hari untuk menentukan barisan kepimpinan masa hadapan terutamanya dalam berhadapan situasi politik mencabar ini.

Para perwakilan seluruh Malaysia akan bersidang mengikut bahagian masing-masing secara serentak seterusnya membuang undi untuk memilih calon terbaik bagi mengemudi bahtera Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO di bahagian masing-masing serta pusat.

Bagi Wanita UMNO Malaysia, seramai dua calon mempertandingkan diri untuk jawatan Pengerusi Tetap, empat bagi jawatan Timbalan Pengerusi Tetap, dua jawatan Ketua Wanita UMNO, dua Naib Ketua Wanita UMNO dan 61 bagi jawatan Exco Wanita UMNO Malaysia.

Manakala untuk Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, seramai tujuh orang calon bertanding bagi jawatan Pengerusi Tetap, 12 jawatan Timbalan Pengerusi Tetap, empat jawatan Ketua, empat calon juga untuk Naib Ketua dan 113 jawatan Exco.

Bagi Pergerakan Puteri UMNO Malaysia pula, dua orang calon telah menawarkan diri bagi jawatan Pengerusi Tetap, dua Timbalan Pengerusi Tetap, enam untuk Ketua , tiga Naib Ketua dan 42 calon bagi jawatan Exco.

Proses Pemilihan UMNO 2023 telah bermula dengan Persidangan Tahunan UMNO Cawangan dan Pemilihan Jawatankuasa Cawangan, Wanita, Pergerakan Pemuda, Puteri Cawangan telah bermula pada 1 Februari dan berakhir pada 26 Februari 2023 lalu.

Borang pendaftaran calon bagi musim pemilihan ini telah dikeluarkan pada 11 Februari lalu dan penyerahan borang bagi peringkat bahagian serta pusat telah diadakan pada 13 sehingga 16 Februari.

Pada 3 Mac lalu telah berlangsung proses cabutan nombor undi bagi calon-calon Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri diikuti dengan proses berkempen untuk calon-calon memperkenalkan diri serta menyatakan tawaran mereka.

Terdahulu, Majlis Pengenalan calon-calon pemilihan UMNO peringkat pusat telah diadakan di Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Kedah/Perlis, Perak, Sabah dan Selangor.

Baki negeri bagi majlis tersebut akan disambung di Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Kelantan dan Terengganu. Tempoh terbabit dianggap sebagai ruang bagi para calon berkempen dengan kesemuanya terikat kepada tataetika yang telah digariskan dalam Perlembagaan UMNO dan Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU). – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit