Ahmad Zahid Pesan Perwakilan Pilih Calon Terbaik Untuk Perkasakan UMNO
KOTA KINABALU, 8 Mac – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berpesan kepada perwakilan yang bakal mengundi pada pemilihan parti ini untuk memilih mereka yang terbaik bagi kembali memperkasakan UMNO.
Katanya, calaon-calon yang terbaik akan dapat mengukuhkan UMNO dan membantu kepada kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal diadakan.
“Saya harap pilihlah calon-calon yang terbaik di kalangan yang baik-baik iaitu yang dapat membantu UMNO untuk mengukuhkan parti di dalam Pilihan Raya Negeri yang akan diadakan di enam negeri serta untuk terus memperkasakan UMNO dan mempertahankan kerajaan yang ada.
“Carilah pemimpin-pemimpin yang telah mencalonkan diri… yang terdiri daripada mereka yang benar-benar komited untuk memperkasakan UMNO semula di semua peringkat terutamanya di peringkat nasional,” katanya.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap di Majlis Pengenalan Calon-Calon Pemilihan UMNO 2023-2026 peringkat Negeri Sabah, di sini, malam tadi.
Dalam hal ini beliau menyarankan agar calon-calon yang bertanding juga membawa semangat kebersamaan.
“Bawalah suara Sabah itu dalam mesyuarat Exco dan Majlis Kerja Tertinggi, juga untuk suarakan suara akar umbi. Saya yakin jika semangat kebersamaan kita terus dipertahankan maka UMNO bukan hanya terus relevan tapi akan menjadi dominan kembali.”
Jelasnya, penglibatan 21 orang calon dari Sabah yang menawarkan diri untuk bertanding di peringkat pusat menandakan bahawa UMNO terus relevan.
“Dari Sabah 21 orang tawarkan diri untuk bertanding di semua perigkat yang menandakan bahawa UMNO akan terus relevan di Sabah. Selamat berjaya dan selamat memimpin UMNO. Moga yang menang akan terus memperkukuhkan UMNO.”
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Timbalan Ketua UMNO Sabah, Datuk Yakub Khan bersama-sama kepimpinan UMNO Negeri Sabah selain calon-calon pemilihan UMNO yang bertanding di peringkat pusat.
Terdahulu majlis sedemikian telah diadakan yang didahului di Wilayah Persekutuan diikuti Pulau Pinang, Kedah/Perlis dan kemudian Perak.
Pemilihan sayap UMNO akan berlangsung pada 11 Mac ini ketika Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Wanita, Pemuda serta Puteri Bahagian, diadakan serentak di seluruh negara.
Pada tarikh berkenaan, turut diadakan Pemilihan EXCO Wanita, Pemuda dan Puteri peringkat Pusat.
Pemilihan UMNO dijadual berakhir pada 18 Mac 2023 dengan berlangsungnya Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian bersama Pemilihan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO. – Online Online