Pemilihan UMNO 2023: Agenda Rejuvenasi Parti Tidak Boleh Mati – Zuhir Ghazali
KUALA LUMPUR, 21 Feb – Pemilihan UMNO pada kali ini dilihat amat penting untuk menstrukturkan dan memperkukuhkan lagi sistem perkaderan dan rejuvenasi dalam parti.
Presiden Mahasiswa UMNO Malaysia Wan Muhammad Zuhir Ghazali berkata dengan tiada kompromi, betapa siapa pun yang menawarkan diri untuk memposisikan diri dalam parti perlu fokus berkait agenda ini.
“Sebab yang paling kukuh mengapa parti ini masih bertahan adalah kerana sistem perkaderannya yang masih bernyawa. Tapi sejauh manakah keseriusan kita dalam membina ‘pipeline’ perkaderan ini.
“Meski kita tahu tuaian dan pelaburan ini akan memakan masa yang bukan sebentar. Kita juga harus tahu, walau sesukar apa sekalipun proses ini tetap juga ianya wajib dilaksanakan dan direncana oleh tangan orang muda yang berwibawa. Ini masanya dan letakkan keutamaan pada tempatnya.
“Lihat sahaja pada parti-parti lain betapa ramai bakat-bakat yang laris dijual. Sesuai dengan selera zaman tapi apa jadi dengan ‘pipeline’ perkaderan parti ini sejak beberapa dekad ini,” katanya kepada UMNO Online, di sini.
Tambah Zuhir, semenjak UMNO kalah pada Pilihan Raya Umum (PRU) 14 sehingga kini ramai yang beranggapan bahawa parti ini telah lama terkubur.
“Sejak kekalahan UMNO pada tahun 2018 sehingga kini ramai beranggapan bahawa parti ini akan terkubur seolah-olah tiada lagi hari esok. Namun parti ini tetap kekar berdiri dan terus diperkasakan lagi,” ujarnya.
Untuk rekod pada pemilihan UMNO kali ini parti ini telah menawarkan pelbagai jawatan di Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Exco Wanita, Pemuda dan Puteri.
Ini telah terbukti UMNO tidak ketandusan pemimpin dan ramai golongan muda yang berminat mengisi jawatan pada pemilihan kali ini. – UMNO Online