“Saya Tidak Suka Yang Bengkok.. Nak Buat Jambatan Sebaik-baiknya Biar Yang Lurus” – Najib

KUALA LUMPUR, 23 Okt – “Bukan saya menentang (pembinaan jambatan bengkok) tapi bagi saya ada kaedah yang lebih sesuai untuk menjimatkan wang rakyat,” ujar Ahli Parlimen Pekan yang juga bekas Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak ketika sesi perbahasan berhubung Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) di Dewan Rakyat.

Jelas beliau, tidak guna untuk berbelanja banyak tetapi kesesakan tidak dapat diatasi dan kerana itulah di zaman pentadbiran Tun Abdullah Badawi, pembinaan jambatan bengkok di batalkan.

“Saya nak nyatakan di sini saya tidak suka yang bengkok… saya lebih suka yang lurus jadi kalau nak buat jambatan pun sebaik-baiknya biarlah yang lurus… kalau nak buat yang bengkok sambung dengan yang sedia ada memang tidak masuk akal.

“Kita belanja banyak tapi kesesakan tidak dapat kita diatasi, sebab itu di zaman Tun Abdullah sudah dibatalkan sebab singapura tidak setuju… saya cuba, masa saya jadi perdana menteri saya cuba cakap dan yakinkan Singapura untuk mansuhkan ‘cosway’ tapi Singapura tidak mahu dan nak kekalkan.

“Jadi kita tidak dapat teruskan. Bukan saya menentang tapi saya ada kaedah yang lebih sesuai dan menjimatkan kewangan rakyat,” ujar beliau.

Dalam perbahasan tersebut, Najib turut menyuarakan kebimbangan terhadap para pekebun sawit seramai 650 ribu orang.

“Ini saya nampak satu yang agak pelik, pada empat bulan pertama tahun ini, eksport minyak kelapa sawit lebih tinggi daripada empat bulan yang sama pada tahun 2017, tapi lepas masuk bulan lima ke atas, ianya lebih rendah daripada bulan yang sama tahun sudah.

“Ini serius, sebab 650 ribu pekebun kecil, kalau kita masukkan keluarga mereka, jumlah yang besar merana sekarang ini. Saya masuk rancangan Felda, suram dan tak meriah kerana terkesan dengan harga minyak sawit yang telah jatuh dengan begitu ketara.

“Tetapi yang peliknya, eksport Indonesia bertambah. Eksport Malaysia menguncup, kenapa? Apakah langkah yang boleh dibuat oleh kerajaan PH dalam hal ini?” soal Najib lagi. – MediaUMNO

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.