Fokus Masa Hadapan, Pembersihan Parti Langkah Terbaik UMNO Ke Arah Nafas Baharu – Azhari

KUALA LUMPUR, 31 Jan – Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari berpandangan pembersihan total dalam parti membawa gambaran baharu untuk parti ini berada dalam fasa terbaik.

Katanya ini kerana keputusan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang mengambil tindakan terhadap beberapa pemimpin adalah bagi memastikan UMNO terus didukung oleh ahli yang membawa aspirasi.

“Kami di akar umbi akur keputusan MKT dan melihat bahawa apa sahaja yang dilakukan diharap memberi nafas baharu kepada UMNO dengan adanya ahli-ahli dalam parti adalah mereka yang benar-benar setia dan taat.

“Malah keputusan ini secara kolektif dan tidak ada unsur-unsur lebih kepada kepentingan peribadi melebihi keutamaan parti,” katanya ketika dihubungi UMNO Online.

Beliau dalam pada itu mengajak ahli parti untuk berlapang dada dan bergerak ke hadapan bagi memastikan fokus kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan dihadapi kelak.

“Saya ingin mengajak ahli parti marilah kita bertaut semula kerana kita pun sudah tahu keputusan itu sedikit sebanyak ada dianggap negatif di semua peringkat

“… di selangor khususnya akan menghadapi PRN jadi berharap kita ketepikan dahulu isu dan keputusan mari kita fokus kepada pilihan raya ini serta pastikan UMNO juga dapat menyumbang kepada kemenangan,” ujar beliau.

Terdahulu mesyuarat MKT dipengerusikan Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memutuskan untuk memecat bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar dan bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin, manakala Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan; Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang dan bekas Ahli Parlimen Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif digantung selama enam tahun. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.