Perwakilan Sifatkan Ucapan Dasar Sarat Dengan Ingatan, Alu-alukan Pindaan Perlembagaan Parti

KUALA LUMPUR, 13 Jan – Ucapan dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi disifatkan sarat dengan ingatan serta mengajak seluruh ahli parti untuk bergerak ke depan dalam usaha memastikan UMNO terus melangkah dengan penuh gagah mendepani segala cabaran.

Rata-rata perwakilan yang ditemui melihat ianya satu peringatan yang tepat pada masanya kerana senario serta suasana yang dihadapi UMNO pasca Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 lalu memerlukan satu langkah yang betul-betul berani.

Ketua Penerangan Wanita UMNO Sabah, Datuk Noraini Idris@Judet berkata apa yang diungkapkan oleh Datuk Seri Ahmad Zahid tentang soal muafakat serta perjuangan UMNO itu sendiri terhadap orang Melayu dan seluruh rakyat amat bertepatan sekali.

“Ucapan Presiden hari ini adalah satu ucapan yang sangat memberi kesan setiap sanubari perwakilan… ucapan nada yang tegas… umpamanya senario apa yang berlaku semasa PRU ke-15 dan semasa penubuhan kerajaan perpaduan sebelum ini.

“Tunjang parti UMNO adalah orang Melayu. Kita memperjuangkan kepentingan Melayu dan seluruh rakyat Malaysia. Presiden gesa kita untuk terus bergerak ke depan bekerja keras dalam usaha memastikan UMNO terus diterima rakyat … melihatkan keputusan PRU lalu ia agak mengecewakan dan kita gagal menangani persepsi terhadap parti hari ini. Ingatan untuk kita lebih bekerjasama serta muafakat dan lebih bijak dalam menangani media sosial hari ini,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Penampang seterusnya berharap apa yang dibahas serta apa yang disampaikan oleh pimpinan parti pada perhimpunan kali ini dapat dihadam serta dibawa balik selepas berakhirnya perhimpunan esok.

“Sama-samalah kita hadam dan hayati…bukan sahaja perwakilan tetapi juga seluruh ahli parti. Apa yang berlaku kepada PRU-15  terus berlalu dan kita akan berdepan dengan PRN enam negeri lagi selepas ini.Apa pun kunci utama adalah Ingatan tegas agar kita lebih bersedia dan terus menuju ke depan mendepani cabaran,” tambahnya.

Sementara itu, Datuk Sabariah Saidan yang juga Ketua Wanita UMNO Bera turut sependapat malah berharap semua pihak terus melangkah ke depan dan masing-masing mencari titik persamaan demi kekuatan UMNO.

“Harapkan apa sahaja yang telah kita berkongsi pandangan pada kali ini dapat dibawa balik serta dapat dipraktikkan oleh seluruh ahli parti. Kita semua perlu istiqamah serta masing-masing bermuhasabah mencari di mana titik persamaan agar kita dapat kecapi semula kejayaan.

“Jadi kepada yang melakukan kesilapan yang tidak diduga serta tidak dirancang marilah kita sama-sama kembali bertaut. Bak kata perumpamaan… biduk berlalu kiambang bertaut. Sebenarnya ini bukan sahaja untuk UMNO tetapi untuk orang Melayu seluruhnya.

“Kita tidak perlu undur ke belakang lagi dan marilah kita sama-sama berjalan ke depan menangani segala cabaran. Tujuan kita adalah memantapkan kembali UMNO dan memastikan parti terus mendapat kepercayaan.

“Wanita UMNO tetap setia dalam apa jua keadaan… wanita tetap bergerak serta terus bergerak ke depan dengan pelbagai cabaran nanti yang mendatang. Kalau kita tengok setiap sesuatu itu ada cabaran tetapi insya Allah mampu mendepaninya,” ujarnya.

Sementara itu beliau turut melihat pindaan Perlembagaan yang berjaya diluluskan melalui sokongan sebulat suara oleh perwakilan yang hadir pagi tadi adalah satu langkah yang amat bermakna kepada parti.

Jelas beliau pindaan yang membabitkan kehadiran Ketua Penerangan sebagai perwakilan automatik pada Perhimpunan Agung UMNO serta akta lompat parti itu adalah untuk kepentingan parti pada masa akan datang.

“Pindaan ini bagus… Ketua Penerangan adalah satu jawatan yang penting dan paling utama mereka dapat dengar dengan jelas apa yang ingin disampaikan ke bawah. Inilah satu hasrat yang akhirnya direalisasikan oleh pimpinan parti. Berkaitan akta lompat parti… bagi saya amat setuju sangat kerana ianya adalah untuk kestabilan parti,” ujarnya. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.