Permudah Golongan Wanita Berniaga, Aspek Latihan Dan Pembiayaan Perlu Diteruskan
KUALA LUMPUR, 12 Jan – Ketua Wanita UMNO Bahagian Bukit Mertajam, Rohani Omar berpandangan penglibatan wanita dalam bidang perniagaan hari ini sudah semakin luas bahkan dikuasai golongan ini termasuk dunia digital perniagaan.
Katanya, menyedari perkara itu wanita harus diberikan pembelaan dan kewajaran untuk terus dimudahkan dari aspek latihan, pembiayaan, geran dan dana yang perlu diteruskan bagi memastikan kelestarian penyertaan wanita terus mapan.
“Cuma apa yang agak membimbangkan saya ialah keupayaan negara ini adakah benar-benar kalis ekonomi untuk berdepan dengan inflasi mahu pun ekonomi yang tidak menentu dan kemungkinan terpaksa berdepan dengan gelombang COVID-19 sekali lagi yang mana kita sendiri telah melihat adanya tanda-tanda peningkatan kes baharu di negara China semula.
“Soal ini perlu diteliti dengan serius sebagai langkah susulan dalam memberi jaminan terbaik bahawa usahawan wanita tidak kira berskala kecil atau Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) tidak terjejas semula apatah lagi adanya kelak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Kalau kita melihat statistik Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, usahawan PKS yang berdaftar di Malaysia sekurang-kurangnya 910,000 syarikat dan daripada jumlah itu, sebanyak 22 peratus atau 200,200 adalah usahawan PKS wanita,” katanya sebagai pembahas usul ekonomi dalam Perhimpunan Agung Wanita UMNO, petang tadi.
Jelas beliau jumlah itu juga belum termasuk usahawan wanita yang terdiri daripada penjaja gerai, penjual barangan basah di pasar awam, pasar tani dan pasar malam, peniaga wanita secara atas talian yang mungkin dianggarkan boleh mencapai sejuta orang.
Sementara itu, pembahas usul politik Ketua Wanita UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Rozalina Mokhtar berkata tren pentaksub ahli politik dalam kalangan golongan muda di media sosial pada ketika ini amat membimbangkan.
Malah katanya, untuk melihat UMNO kembali berada dalam senarai pilihan utama rakyat untuk tempoh yang panjang melahirkan pemimpin pelapis yang berkebolehan, bijaksana dan berpengetahuan perlu dirangka segera.
“Apatah lagi peranan golongan berusia bawah 21 tahun sebagai pencorak landskap politik negeri perlu diberikan lebih didikan agar mereka menjadi golongan yang memahami politik yang sebenar.
“Namun senario yang sedang berlaku di hadapan kita hari ini ialah apabila ramai di kalangan anak muda yang terjebak dengan ‘politik pengkagum’ iaitu terlalu taksub kepada seseorang tanpa melihat kemampuan, keupayaan dan rekod perkhidmatan seseorang calon itu.
“Apatah lagi, dengan perkembangan teknologi terkini, politik sampah seperti gemar menghasut, menfitnah dan mengadu-domba saling terlintas di pemikiran anak muda kita. Yang sangat menakutkan ialah, ramai yang sudah terpedaya! Keadaan ini kian menebal saban hari dan jika dibiarkan tanpa diberikan tarbiah politik yang benar kepada mereka, itu sangat tidak baik kepada masa depan negara,” ujar beliau. – UMNO Online