Tangani Budaya Maksiat Termasuk LGBT Menerusi Pendidikan – Mufti Perak
TANJUNG MALIM, 17 Okt – Peningkatan budaya maksiat termasuk lesbian gay biseksual dan transgender (LGBT) di negara ini perlu ditangani secara bijak melalui asas pendidikan bermula dari ibu bapa.
Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria berkata masalah sosial tersebut bukanlah perkara baharu dan sudah ada undang-undang bagi mencegahnya namun masih banyak yang tidak dilaksanakan.
“Undang-undang yang ada sekarang ini alhamdulillah (baik), tapi itupun banyak yang tidak terlaksana lagi. Jadi apa yang penting adalah asas pendidikan.
“Ibu adalah guru. Bapa adalah asas membangunkan manusia. Justeru perlu dididik dari rumah terlebih dahulu oleh ibu bapa dengan asas agama dan akhlak,” katanya.
Beliau bercakap pada sidang media selepas menandatangani Pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Institut Tanah dan Ukur Negara (Instun) dan Jabatan Mufti Negeri Perak (JMNPk) di sini hari ini.
Harussani berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penganjuran pesta arak Oktoberfest dan terbaru, penganjuran sesi bertemu peminat ikon LGBT Thailand yang telah dibatalkan di mana ia dijadualkan berlangsung di Muzium Negara pada 20 Okt nanti.
Turut hadir Timbalan Mufti Perak Zamri Hashim, Pengarah Jabatan Agama Islam Perak Datuk Mohd Yusop Husin dan Pengarah Instun Norehan Omar.
Menurut Harussani lagi, beliau sendiri sudah menghadapi isu LGBT sejak 1968 dengan memberi ceramah kepada golongan berkenaan.
“Sebenarnya perkara ini (LGBT) bukan baru dan banyak juga badan bukan kerajaan (NGO) yang mengendalikan pemulihan golongan seperti ini, namun malangnya terdapat NGO yang menggunakan nama islam tetapi menentang ajaran Islam dan mengatakan ajaran islam serta al-Quran sudah ketinggalan zaman.
“Manusia diberikan akal dan nafsu di mana perlu menggunakan akal untuk membuat pertimbangan menghadapi nafsu dan apa yang penting adalah pendidikan dari peringkat awal,” katanya.
Sementara itu Norehan berkata MoU yang dimeterai merupakan satu simbol komitmen antara Instun dan JMNPk, yang bersetuju memperkukuh perkongsian kepakaran termasuk pembangunan harta tanah bagi faedah bersama.
“Saya yakin JMNPk mempunyai banyak pengalaman dan kepakaran yang boleh dikongsikan bersama terutama bidang ilmu Falak Syarie bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran serta penyelidikan dan pembangunan modal insan di samping menjalankan apa jua bentuk kerjasama lain,” tambahnya.