Anggota Tentera Dibayar Tuduhan Berat… Tuduh Tanpa Bukti – Johari Ghani
KUALA LUMPUR, 15 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menempelak dakwaan pihak lawan yang kononnya ada anggota tentera dibayar untuk mengundi pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 ini.
Ini kerana katanya, tuduhan itu amat berat kerana ianya mencemarkan imej dan menghina Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Pembangkang sering menuduh-nuduh Barisan Nasional tapi mereka ada bukti? Kalau ada bukti buatlah laporan polis dan siasat. Cakap kosong nak buat apa… mana-mana parti politik pada hari ini berada dalam dunia yang terbuka. Kalau nak buat satu-satu pertuduhan ada fakta tak? Kalau ada fakta buat ‘press conference’.
“Pembangkang selalu berbicara tiada fakta… inilah masalahnya seperti mana membuat manifesto pada PRU lalu yang berjanji macam-macam tetapi tiada fakta. Kalau pembangkang ada fakta sudah tentu tidak akan buat manifesto,” katanya kepada UMNO Online, di sini.
Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan menzahirkan penghargaan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana adanya pembaharuan dan penambaikan dari PRU lalu.
Jelasnya, pembaharuan dan penambahbaikan ini yang diperkenalkan oleh SPR sangat sistematik dan prosesnya berjalan lancar.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih pada SPR kerana satu pembaharuan dan penambahbaikan berbanding pada PRU lalu. Pada kali ini nampak pengundiannya cukup teratur, menyediakan fasaliti yang selesa dan sistematik bagi pengundi di kem ini.”
Terdahulu, anggota polis dan tentera bersama pasangan di negeri ini mengundi awal pada PRU ke 15 hari ini. – UMNO Online
Oleh: Amin Adnan