Kegagalan PH 22 Bulan Bawa Gelombang Perubahan PRU15 – Dr Fathul Bari
KANGAR, 12 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Kangar, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jaya berpandangan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini bakal membawa suatu gelombang perubahan kepada senario politik negara.
Katanya ini kerana, pentadbiran Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan membawa kekecewaan kepada rakyat kerana manifesto yang ditawar mereka gagal dipenuhi.
“PRU15 tentu ianya membawa perubahan yang cukup besar, PRU14 mungkin isu-isu yang dizikir atau manisan di bibir pembangkang pada ketika itu adalah fitnah dan tuduhan palsu kepada kerajaan BN sehingga mengakibatkan rakyat menderita.
“Kemudian PH menjadi kerajaan tidak memberikan sebarang solusi malah bertindak menjual aset untuk dapatkan duit, manifesto pada mereka yang bukan kitab suci dan tidak perlu untuk ditunaikan pun.
“Janji penghapusan tol, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), GST turun barang semuanya itu seolah-olah dibiarkan begitu sahaja,” katanya.
Bahkan Dr Fathul yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkata memburukkan lagi keadaan perpaduan dalam kalangan kaum di negara ini juga tergugat dek kerana kerajaan PH yang tidak bertanggungjawab.
“Isu ketegangan antara kaum siapa yang mainkan? Hendak ubah Perlembagaan untuk ICERD saya kira 22 bulan sudah cukup jadi PRU15 ini rakyat mampu menilai dengan bijaksana selama mengharungi tempoh tersebut dan perubahannya insya-Allah rakyat akan memilih BN.
“Diakui UMNO/BN ada kelemahan dan kekurangan cuma untuk kestabilan negara bagi memulihkan isu ekonomi, pulihkan kepentingan anak-anak termasuk penganguran, ekonomi, pendidikan ini keutamaan yang perlu disegerakan dengan memilih BN,” ujar beliau.
Dr Fathul pada 19 Nov ini akan berdepan dengan saingan lima penjuru iaitu calon daripada Pakatan Harapan, Perikatan Nasional, Warisan dan Pejuang.
Untuk rekod Kangar merupakan kubu kuat BN, namun 2018 mencatatkan sejarah tersendiri apabila kerusi tersebut dimenangi oleh parti lawan pada PRU14. – UMNO Online
Oleh: Nurul Saadah Latib