PH Penyebab Perkataan Manifesto Tercemar… Janji Bulan-Bintang Namun Gagal Tunai


KUALA LUMPUR, 11 Nov – Perkataan manifesto sendiri telah tercemar dan menjadi perkataan kotor selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 apabila Pakatan Harapan (PH) telah meuar-meuarkan pelbagai tawaran hebat namun gagal menunaikannya.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, perbuatan mereka menggelar manifesto ‘bukan kitab suci’ itu telah menyebabkan semua pihak enggan mempercayai lagi perkataan tersebut.

“Perkataan manifesto itu sendiri sudah menjadi perkataan kotor sehinggakan tidak ada parti yang mengatakan ‘ini manifesto kami’. Ianya dikotori oleh PH selepas PRU ke-14 dahulu apabila mereka meuar-uarkan manifesto yang hebat lalu mengatakan ianya ‘bukan kitab suci’.

“Sebab itu mereka sendiri tak cakap pasal manifesto kali ini. Mereka memberikan pelbagai alasan kerana tidak cukup masa dan sebagainya sedangkan pada waktu tersebut jelas mereka mengatakan untuk melaksanakan semua janji dalam masa 100 hari,” katanya pada satu sidang media yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia (WTC), hari ini.

Menurutnya, perkara yang menjadi kebimbangan orang ramai mengenai manifesto yang dibentangkan oleh Barisan Nasional (BN) ialah kebolehpercayaan terhadap parti mana yang boleh berpegang pada janji.

“Perkara yang menjadi concern ramai ialah tentang kebolehpercayaan terhadap parti mana yang betul-betul serius dalam melaksanakan manifesto. Masing-masing mengemukakan bulan dan bintang tetapi masih ragu-ragu dengan janji-janji tersebut.

“Ini menjadi perkara yang sepatutnya UMNO/BN memberikan tumpuan dalam gerak kerja beberapa hari ini untuk meyakinkan rakyat bahawa hanya parti ini yang boleh dipercayai dalam memberikan janji,” katanya lagi.

Jelasnya lagi, kerajaan tidak bermula seusai PRU ke-15 kerana UMNO/BN berhasrat untuk meneruskan kesinambungan kepada legasi yang tergendala selepas perubahan kerajaan pada tahun 2018 yang lalu.

“Saya menganggap bahawa perkara yang menjadi fokus sekarang ini, mereka mesti beritahu bahawa kerajaan tidak bermula pada 20 November kerana ramai menganggap seperti demikian. UMNO/BN mesti dilihat dalam perspektif yang lebih luas lagi bahawa manifesto ini merupakan kesinambungan kepada legasi yang sudah sekian lama.

“Kalau kita lihat semua perkara yang besar daripada lebuh raya, sekolah, hospital, klinik kepada penjenamaan negara yang besar sehinggalah kepada pelaksanaan projek-projek seperti PAN Borneo Highway yang pernah kita rancang, terhenti apabila perubahan kerajaan ini adalah legasi yang mahu diteruskan selepas PRU ke-15 ini,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Ahmad Shabery bimbang sekiranya negara jatuh ke tangan parti lain maka legasi tersebut dibunuh sekaligus merencatkan pembangunan negara.

“Parti lain mungkin seolah-olah dunia mereka bermula pada 20 November tetapi UMNO/BN, kita adalah penerusan kepada legasi yang sudah sedia ada. Bagi kita, kita bimbang sekiranya naik parti lain, mereka akan bercakap bagaimana untuk membunuh legasi ini.

“Sebab itu dahulunya projek ECRL misalnya, mereka bimbang dan merasakan legasi BN ini mesti dihentikan. Perikatan Nasional (PN) misalnya, apabila menjadi Perdana Menteri sekejap, ketua dia ‘bunuh’ HSR kerana bimbang ini adalah legasi BN dan kalau boleh mereka nak bunuh semua apa yang dikaitkan oleh legasi BN. BN untuk meneruskan legasi. Jadi ‘key’ kepada manifesto kita ialah penerusan kepada legasi,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.