Tak Wujud Kumpulan-kumpulan Dalam UMNO, Muafakat Demi Kepentingan Ummah
BANDAR BAHARU, 20 Okt – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri Kedah, Datuk Seri Dr Jamil Khir Baharom berpandangan muafakat yang dapat dilihat dalam kalangan pemimpin parti telah menafikan dakwaan mengatakan wujudnya berkumpulan dalam UMNO.
Meskipun begitu katanya, tidak dinafikan semestinya perbezaan pendapat wujud namun ianya adalah berlandaskan kepentingan rakyat dan juga parti keramat ini.
“Melihat Presiden yang bersama-sama dengan Perdana Menteri, dapat menjangkakan bahawa apabila orang bercakap dengan pelbagai tanggapan ada cerita yang tak sedap, suara sumbang mengatakan di Kuala Lumpur ini ada kumpulan dalam kalangan PWTC dan kumpulan Putrajaya.
“… tetapi petang (semalam) ini menyaksikan kepada kita tidak kumpulan dan puak di antara kepimpinan.
“UMNO/BN memahami sangat apabila ada ketikanya kita bersama soal sedikit perbezaan pandangan, Nabi Muhammad SAW menyebut bahawa ‘khilaf umatku ini menjadi rahmat’ sebab itu tidak pelik di dalam mazhab yang muktabar kita mendengar ada mazhab Imam Syafie, Hambali, Maliki dan juga yang lain.
“Kita melihat perbezaan tapi mereka tahu di mana tempat untuk diadakan kembali pertautan dan pertemuan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Pelancaran Jentera BN peringkat Negeri Kedah dengan tema ‘Solidariti Kestabilan dan Kemakmuran’ yang berlangsung di Dataran Seri Serdang. Turut hadir Presiden UMNO yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Perdana Menteri merangkap Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob serta Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Hadir sama Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dan kepimpinan lain.
Mengulas lanjut beliau berkata Ahmad Zahid dan Ismail Sabri membawa peranan mereka tersendiri dalam menjaga kemaslahatan rakyat.
Katanya, sebagai pengemudi sebuah parti Melayu terbesar di negara ini, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu memainkan watak penting membawa parti ini berterusan dengan perjuangan sejak penubuhannya.
“Sesungguhnya Presiden sebagai seorang ayah kadang-kadang tak menceritakan keperitan perjalanan tetapi berazam seluruhnya dalam diri untuk membawa parti bagi menuju kemenangan dan kejayaan,” ujar beliau.
Beliau pada masa sama turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri yang memperlihatkan keprihatinan menerusi Bajet 2023 apabila memberi tumpuan khusus kepada golongan berpendapatan rendah.
“Penoreh getah telah diumum dengan bantuan untuk mereka dapat pada musim tengkujuh, Perdana Menteri memahami bahawa setiap hari nak dapat satu keping getah mereka kena pergi ke setiap batang pokok toreh satu persatu.
“Pesawah juga ucapan terima kasih kerana bila waktu musim menunggu untuk menuai… setahun dua kali mereka tanam, tabur benih sebutir demi sebutir tumbuh menjadi padi dan mereka terpaksa menunggu enam bulan untuk mengambil hasil.
“Mereka minta Perdana Menteri teruskan bantuan yang telah pun disebut dalam Bajet 2023 yang lalu.
“…untuk yang turun ke laut, mereka minta Perdana Menteri turunkan insentif yang telah pun disebut kerana turun ke laut membelanjakan wang untuk minyak bot di samudera luas tidak menjanjikan hasil dan rezeki, kadang-kadang pulang kosong sepanjang nelayan,” ujar beliau. – UMNO Online
Oleh: Nurul Saadah Latib