Pertandingkan Semua Jawatan Dalam UMNO Langkah Pertama Kembalikan Kepercayaan Rakyat – Shahrizat
KUALA LUMPUR, 22 Mei – “Wanita UMNO yakin keputusan untuk membuka semua jawatan dipertandingkan adalah satu langkah pertama yang signifikan bagi merejuvenasikan UMNO sebagai parti yang menjadi sandaran kepercayaan rakyat,” jelas Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.
Jelas beliau, tindakan tersebut (mempertandingkan semua jawatan dalam UMNO) mampu membawa pembaharuan dan perubahan yang diperlukan oleh parti di saat yang amat mencabar malah ia juga membuka ruang untuk ahli UMNO memilih pemimpin yang mereka rasakan layak.
“Wanita menerima dan mengambil iktibar di atas kekalahan Barisan Nasional (BN) pada PRU-14 yang lalu. Suara rakyat mesti diambil secara serius oleh UMNO.
“UMNO mesti memulakan fasa pemulihan dalam parti untuk kembali berkhidmat kepada rakyat dan mendapat kepercayaan mereka. Sebab itulah keputusan untuk mempertandingkan semua jawatan dalam parti adalah sangat tepat,” jelasa beliau dalam satu kenyataan media.
Terdahulu, Naib Presiden yang menjalankan tugas-tugas Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan semua jawatan dalam UMNO terbuka dan bebas untuk dipertandingkan termasuk jawatan Presiden, Timbalan Presiden, Naib-naib Presiden serta ketua-ketua bagi kepimpinan sayap parti. – MediaUMNO