Diperlekeh Sering Bawa Isu Berkepentingan Rakyat, Dr Asyraf Jawab Kecaman Netizen

KUALA LUMPUR, 7 Sept – Walaupun dikecam oleh segelintir netizen kerana sering membawa suara rakyat, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki tenang membalas bahkan mengucapkan syukur kerana banyak aduan melibatkan kepentingan rakyat yang disalurkan kepada pihaknya berjaya dipenuhi oleh kerajaan.

Dalam satu komen di satu status Facebooknya, seorang pelayar maya dengan menggunakan nama Edzwan Syahrel mengecam usaha Dr Asyraf dan Pemuda UMNO yang proaktif membawa isu-isu melibatkan kepentingan rakyat.

“Terima aduan aduan aduan tp habuk pun tarakkk,” tulis Edzwan Syahrel.

Kritikan tersebut mendapat balasan Dr Asyraf dengan mengatakan walaupun tidak semua permohonan pihaknya berjaya, tetapi ada banyak yang dipenuhi seperti beberapa pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpaan Pekerja (KWSP), moratorium, Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) dan terbaharu mengenai kebajikan P-Hailing dan E-Hailing.

“Edzwan Syahrel Alhamdulillah, tak semua yang berjaya tapi banyak juga isu berkaitan kebajikan rakyat dahulu termasuk BKM, KWSP, Moratorium, isu-isu tuntutan rider P-Hailing dan driver E-Hailing yang berjaya juga,” jawabnya.

Ternyata maklum balas Dr Asyraf itu mendapat reaksi positif daripada netizen yang lain, menyokong usaha Pemuda UMNO dan seterusnya mereka mengharapkan agar pihak Pemuda UMNO berterusan membawa suara rakyat.

Terdahulu, dalam statusnya itu, Dr Asyraf berkata beliau menerima banyak aduan dan keluhan daripada ibubapa mengenai pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

“Ramai terutamanya di kalangan M40 yang minta Pemuda UMNO suarakan agar jumlah pinjaman diberikan 100% sebagaimana zaman Kerajaan BN (Barisan Nasional) dahulu.

“Dengan kos sara hidup yang tinggi dan jumlah tanggungan anak-anak yang ramai menyebabkan potongan pinjaman yang dikenakan menyebabkan mereka terpaksa menampung perbelanjaan tinggi anak-anak yang menyambung pengajian ke IPTA (institut pengajian tinggi awam) mahupun IPTS (institut pengajian tinggi swasta).

“Apakah saudara/saudari juga hadapi kekangan dan masalah sama?” soalnya lagi.

Justeru katanya, apa jua cadangan penambahbaikan, Pemuda BN akan kumpulkan dan beliau sendiri memberi komitman akan membawa sendiri kepada pengetahuan menteri dan Pengerusi PTPTN. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit