24 Persatuan Sukan Labuan Terima Bantuan RM88,000

LABUAN, 20 Ogos – Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP) meneruskan komitmen membantu persatuan sukan di pulau bebas cukai itu dengan penyerahan bantuan pentadbiran bagi tahun 2022 berjumlah RM88,000.

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Shahidan Kassim menyampaikan bantuan berkenaan kepada 24 wakil persatuan sukan Labuan pada majlis yang berlangsung di sini hari ini.

“Saya berharap persatuan sukan di Labuan mampu melahirkan lebih ramai atlet yang berpotensi tinggi mewakili negara hingga ke peringkat Olimpik. Ini terutamanya apabila Labuan mempunyai kelebihan dari segi pembangunan sukan air,” kata Shahidan dalam ucapannya.

Dalam majlis sama, beliau turut menyampaikan skim bantuan awal institusi pengajian tinggi Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) kepada atlet ragbi wanita Labuan, Zaryssa Awang Danial yang bakal mengikuti kursus Diploma Pengajian Sukan di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Samarahan, Sarawak.

Terdahulu, Shahidan turut menyaksikan dan menyampaikan hadiah Grand Final Kejohanan Futsal Piala Menteri Wilayah Persekutuan sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2022 di Gelanggang Futsal Tanjung Purun di sini.

Perlawanan itu menyaksikan pertembungan antara juara Futsal Piala Menteri Wilayah Persekutuan peringkat Kuala Lumpur/Putrajaya dan juara peringkat Labuan, dengan pemenang menerima wang tunai RM1,500, Piala Menteri Wilayah Persekutuan dan pingat, sementara naib johan menerima RM1,000, piala dan pingat. –BERNAMA

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.